Kesesakan Trafik Pantai Tanjung Aru: Penambahbaikan Infrastruktur Perlu Dilaksanakan
- nabalunews
- Apr 16, 2025
- 2 min read

16 April 2025
KOTA KINABALU: Pihak berwajib perlu melaksanakan penambahbaikan infrastruktur khusus di kawasan tumpuan Pantai Tanjung Aru bagi menangani masalah kesesakan trafik.
Ia berikutan kesesakan laluan di pusat riadah dan tumpuan pelancong yang menjadi salah satu ikon di ibu negeri itu boleh menjejaskan ‘pergerakan’ ekonomi selain menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pelancong serta penduduk sekitar.
Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R. Indang berkata, isu kesesakan trafik di kawasan berkenaan semakin mendapat perhatian umum berikutan peningkatan jumlah pengunjung yang semakin meningkat.
Katanya, kehadiran pengunjung tempatan dan pelancong terutamanya pada waktu petang dan hujung minggu menjejaskan kelancaran pergerakan kenderaan.
“Pantai Tanjung Aru merupakan destinasi ikonik bagi warga Kota Kinabalu dan pelancong dari dalam dan luar negara. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan akses ke kawasan ini kekal selesa, selamat dan terurus.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar beberapa langkah penambahbaikan jangka
pendek dan panjang dipertimbangkan termasuk penambahan akses jalan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
“Ini termasuk pembinaan laluan alternatif atau melebarkan lorong sedia ada bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Denisson berkata, pihak berwajib juga perlu menyediakan kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi dan efisien, sama ada dalam bentuk parkir bertingkat atau sistem parkir pintar bagi mengurangkan masa
mencari ruang parkir.
Katanya, pihak berkaitan juga boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam atau ‘shuttle’ mesra alam, bagi menggalakkan orang ramai meletakkan kenderaan di lokasi lain.
“Untuk penambahbaikan jangka pendek, penambahan papan tanda arah dan sistem pandu arah yang jelas mampu membantu pengunjung memilih laluan dan lokasi parkir yang betul dan boleh mengurangkan kesesakan.
“Begitu juga dengan penyelarasan kawalan trafik antara pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurus aliran trafik secara lebih sistematik dan responsif.
“Sebagai salah seorang anak jati Kota Kinabalu dan pemimpin akar umbi, saya percaya penambahbaikan infrastruktur di kawasan Tanjung Aru sangat penting bukan saja untuk industri pelancongan, tetapi juga untuk kesejahteraan komuniti tempatan.
“Saya bersedia untuk bekerjasama dan memberikan input lanjut sekiranya diperlukan,
demi memastikan Tanjung Aru kekal sebagai kawasan rekreasi yang membanggakan
dan mesra semua lapisan masyarakat,” tegasnya.















Comments