Kestabilan politik Sabah perlu untuk kekalkan momentum pembangunan, pelaksanaan MA63 - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kestabilan politik Sabah perlu untuk kekalkan momentum pembangunan, pelaksanaan MA63 - Ewon

Ewon menemui para peniaga di Tamu Mingguan Taginambur sebelum menyempurnakan Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2023

6 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick berkata kestabilan kepimpinan politik di Sabah adalah mustahak bagi mengekalkan momentum pembangunan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Beliau berkata, sebarang usaha untuk menggulingkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor boleh merencatkan momentum yang sedang dibina bersama Kerajaan Persekutuan.


“Dengan kerjasama banyak pihak, Hajiji telah memastikan perolehan hasil Sabah lebih daripada enam billion pada tahun lepas. Ini penting supaya rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan seterusnya pembangunan infrastruktur yang perlu diperkasakan dan dilipat-gandakan dengan pendekatan reform tata kelola.

“Dalam masa yang sama, dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di Persekutuan, agenda untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia merupakan antara keutamaan Kerajaan berdasarkan kekerapan perbincangan Jemaah Menteri mengenainya termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan Kerajaan Sabah bagi melaksanakan perolehan terus projek-projek bernilai RM50 juta ke bawah.


“Saya juga telah bangkitkan mengenai pendekatan formula pemberian khas berdasarkan pungutan hasil persekutuan di Sabah. Saya dan rakan sejawat Datuk Armizan sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan mengadakan pertemuan dengan peguam Sabah Law Society dan Pakatan Harapan dalam masa yang terdekat untuk membincangkan lebih lanjut mengenai formula ini.

“Kelmarin saya juga telah membincangkan perkara ini dengan Hajiji. Saya berpendirian momentum ini perlu dikekalkan dan tidak seharusnya digugat oleh sebarang cubaan menggulingkan beliau sebagai Ketua Menteri,” katanya.


Ewon yang juga Presiden-elect Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan demikian selepas mengadakan program walkabout di Tamu Mingguan Taginambur di Kadamaian Square, hari ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menyatakan ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) telah membuat ketetapan konsensus kelmarin untuk tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan Ketua Menteri yang telah mengangkat sumpah selepas proses pilihanraya.

“Ketua Menteri telah mengangkat sumpah selepas proses pilihanraya dan kerajaannya telah dibentuk. Sebelum ini ADUN-ADUN PH Sabah telah menyatakan sokongan agar Hajiji terus menjadi Ketua Menteri sehingga tamat penggal ini. Kami kekal dengan pendirian ini kerana sebarang usaha menggulingkan beliau selepas mengangkat sumpah merupakan rundingan “pintu belakang” yang sepatutnya tidak dilakukan.

Ewon membeli sayur-sayuran sebagai sokongan kepada peniaga kecil-kecilan.

“Pilihanraya negeri akan diadakan dalam tempoh tiga tahun. Parti-parti politik boleh mengambil bahagian dan seterusnya berunding mengenai penubuhan Kerajaan pada masa itu, bukannya pada masa ini. Itulah sebabnya ADUN-ADUN PH kekal dengan pendirian menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal ini,” katanya.

Ewon membeli produk tempatan sebagai sokongan kepada peniaga di Tamu Mingguan Taginambur.

bottom of page