KESUMA sambut baik Amanat Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

5 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggariskan komiten beterusan terhadap kesejahteraan rakyat, keadilan sosial, serta pembangunan negara secara inklusif.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, peruntukan tambahan RM100 juta bagi pembiayaan latihan kemahiran dan perlindungan sosial pekerja gig e-hailing dan p-hailing menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap realiti ekonomi baharu.
“Mekanisme pembiayaan inisiatif berkenaan kini sedang diperhalusi dan akan diumumkan kelak. Langkah ini jelas mengiktiraf sumbangan besar sektor gig yang menjadi tulang belakang mobiliti dan ekonomi harian pekerja gig ini.
“Ia juga selari dengan amanat Perdana Menteri yang mengeaskan keperluan memastikan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramanan berkata, KESUMA turut menyokong pelaksanaan kelonggaran sementara tanpa penaliti berkaitan Arahan Bayaran Ansuran CP500, khususnya kes kesilapan tidak disengajakan dalam pengisian maklumat pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab membayar cukai tetap perlu dipatuhi demi menyokong usaha kerajaan menambah baik program bantuan antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta peningkatan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen KESUMA untuk menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan lain yang diumumkan dalam amanat berkenaan, termasuk pemberian SARA bermula 9 Februari serta pembayaran STR 2026 Fasa Satu mulai 20 Januari ini.
Tambah Ramanan, kementeriannya juga menyambut baik pengurangan cukai perkhidmatan sewaan kepada enam peratus dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, selain mengalu-alukan peruntukan bagi penambahbaikan kemudahan pendidikan.
“Selaras dengan Amanat Tahun Baharu 2026, KESUMA kekal komited untuk melaksanakan amanah Kerajaan MADANI dengan memastikan setiap inisiatif yang digariskan memberi impak sebenar kepada pekerja, keluarga dan rakyat secara keseluruhan.
“Kementerian ini juga akan terus menyokong pelaksanaan dasar yang berteraskan kebajikan, keterangkuman dan keadilan sosial agar tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya.


















Comments