Ketahanan ekonomi perlu dipantau rapi – Madius
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

5 Mei 2025
KOTA KINABALU: Ketahanan ekonomi negara perlu dipantau dengan rapi dalam menghadapi kesan tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Madius berkata, kerajaan perlu mengadakan libat urus dengan semua sektor yang berpotensi terjejas dan bersedia menyalurkan bantuan serta sokongan sewajarnya bagi memastikan tiada pemberhentian pekerja dalam sektor berkenaan.
Katanya, kerajaan Persekutuan perlu meneruskan libat urus bersama kerajaan negeri bagi mengenal pasti cabaran jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memaksimumkan potensi serta merancakkan pelaburan, khususnya dalam industri hiliran.
“Keutamaan harus diberikan kepada usaha menggembleng bukan saja sumber asli, tetapi juga sumber modal insan yang terdapat di negeri-negeri terlibat.
“Modal insan dalam perkhidmatan awam perlu diberikan latihan mencukupi dan berterusan bagi memastikan jentera kerajaan sentiasa bersedia mempertahankan kestabilan ekonomi negara,” katanya semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menurutnya, meskipun Amerika Syarikat (AS) telah menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut kepada 1 Julai depan, kesannya terhadap perdagangan global sudah mula dirasai sejurus selepas pengumuman oleh Presiden Donald Trump pada 2 April lalu.
Madius berkata, selain kejatuhan pasaran saham, antara impak lain termasuk penyesuaian operasi oleh pelbagai sektor di seluruh dunia, yang akhirnya menjejaskan permintaan terhadap komoditi.
“Ia menyumbang kepada penurunan mendadak harga minyak mentah petroleum sebanyak 14 peratus kepada USD63 berbanding USD73 sebelum ini, manakala harga minyak sawit mentah turut merosot sebanyak 17 peratus kepada RM3,974 daripada RM4,796,” katanya.
Katanya, walaupun nilai eksport Sabah ke AS hanya sekitar RM400 juta, kesan terhadap hasil negeri amat ketara memandangkan Sabah banyak bergantung kepada kutipan cukai jualan komoditi minyak mentah petroleum dan minyak sawit mentah.
“Oleh itu, unjuran kutipan hasil negeri sebanyak RM6.44 bilion bagi tahun ini dilihat sukar untuk dicapai,” katanya.
Sehubungan itu, Madius mencadangkan supaya satu task force ditubuhkan di peringkat Persekutuan, di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta di setiap kerajaan negeri bagi meneliti dan melaksanakan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menghadapi kesan tarif tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan untuk kerajaan Persekutuan dan negeri memberi perhatian serius terhadap penyelesaian masalah bekalan air dan elektrik yang semakin kritikal, memandangkan kedua-duanya merupakan input penting dalam sektor perindustrian.
“Selain itu, sektor logistik seperti sistem kereta api perlu dinaik taraf bagi menghubungkan taman-taman perindustrian di Sabah dengan pelabuhan, manakala kemudahan pelabuhan juga wajar dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran aktiviti perindustrian dapat dikekalkan,” katanya.
Katanya, kedudukan geopolitik Sabah dalam ASEAN juga harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi menggembleng kekuatan sumber asli dan kelebihan geografi, termasuk taman perindustrian POIC di Lahad Datu, SOGIP di Sipitang dan KKIP di Kota Kinabalu.
Comments