27 barangan disenarai bawah SHMMP Aidilfitri 2026
- nabalunews
- 21 minutes ago
- 2 min read

10 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 barangan keperluan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu meningkat berbanding 26 barangan yang disenaraikan pada SHMMP tahun lalu dengan penambahan satu barangan iaitu kacang dal (Australia).
Menurutnya, tempoh pelaksanaan skim tersebut selama 15 hari, iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal.
“Penentuan kenaikan atau penurunan harga maksimum dilaksanakan berdasarkan analisis kementerian dengan mengambil kira harga di setiap peringkat rantaian makanan termasuk kos import, harga ladang, harga pemborong serta trend harga di peringkat peruncit.
“Tempoh pelaksanaan skim ini bagi membolehkan pengguna menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh yang terlalu lama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Armizan berkata bagi Semenanjung Malaysia, sebanyak 24 barangan disenaraikan di bawah skim berkenaan dengan 13 jenis barangan mencatatkan penurunan berbanding 2025, manakala sembilan jenis barangan dikekalkan dan hanya satu barangan mengalami kenaikan harga iaitu cili merah.
Beliau menjelaskan, di Sarawak sebanyak 11 barangan mencatat penurunan harga maksimum berbanding SHMMP 2025, tujuh dikekalkan manakala tiga barangan mengalami kenaikan harga maksimum iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.
“Bagi Sabah pula, sebanyak 12 barangan mencatat penurunan harga maksimum iaitu daging kerbau import (India), tomato, cili merah, kacang panjang, bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting dan santan kelapa.
“Manakala harga maksimum bagi sembilan barangan lain pula dikekalkan termasuk ikan demuduk atau sagai, ikan selayang, ikan mabung, sawi hijau, timun, lobak merah (China), kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut,” katanya.
Menurut Armizan, Sabah tidak mengalami sebarang kenaikan harga maksimum bagi barangan yang disenaraikan di bawah skim berkenaan.
Sementara itu bagi Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyak 11 barangan mencatat penurunan harga maksimum, lapan barangan dikekalkan manakala satu barangan mengalami kenaikan harga maksimum iaitu cili kacang tanah.
Dalam pada itu, katanya penentuan paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim turut mengambil kira pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri.
Armizan berkata, kementeriannya juga berkerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2026.















Comments