Ketiadaan Hajiji semasa lawatan PM di Sabah tanda keretakan GRS?Ketiadaan Hajiji semasa lawatan PM di Sabah tanda keretakan GRS?
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ketiadaan Hajiji semasa lawatan PM di Sabah tanda keretakan GRS?



9 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketiadaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Kinabatangan baru-baru ini menjadi tanya tanya.


Ramai yang tertanya-tanya samada ini adalah tanda permulaan keretakan kerajaan GRS di Sabah


Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata lawatan Ismail Sabri ke Sabah baru-baru ini sepatutnya disambut oleh Hajiji.


Sebaliknya, ketibaan Perdana Menteri itu disambut oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin.


“Soalnya kenapa Hajiji tidak hadir untuk menyambut ketibaan Ismail Sabri dan pelancaran Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur pada hari Sabtu di Kinabatangan?


“Lawatan Perdana Menteri ke Sabah sepatutnya disambut oleh Ketua Menteri melainkan beliau tidak sihat atau sedang bercuti.


“Itu adalah protokol kerana Perdana Menteri datang ke Sabah atas sebab lawatan kerja dan bukan kerana tujuan lawatan tidak rasmi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Menurut Ahmad Sah, tiada seorang pun menteri dari parti Bersatu hadir pada acara penting itu walaupun parti itu adalah ahli kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


“Tindakan Hajiji sebagai seorang Ketua Menteri, untuk membelakangkan kehadiran Perdana Menteri yang juga seorang pemimpin kanan Umno menampakkan seolah-olah ada ketegangan berlaku dalam GRS.


Pada Sabtu lalu, Ismail Sabri telah melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid.


Antara pemimpin yang hadir semasa pelancaran itu adalah Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

bottom of page