Ketua Menteri harap RTM sampaikan agenda Sabah Maju Jaya
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ketua Menteri harap RTM sampaikan agenda Sabah Maju Jaya


2 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Radio Televisyen Malaysia (RTM) diharap dapat terus membantu menyampaikan maklumat dan agenda kerajaan kepada rakyat, termasuklah inisiatif pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


"Ini penting kerana peranan media khususnya RTM dalam menyampaikan agenda pembangunan Kerajaan ke seluruh pelusuk negeri ini, supaya rakyat tahu apa yang kerajaan sedang dan akan laksanakan.


"Saya berharap RTM sama ada melalui siaran radio atau televisyen terus memberi maklumat yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ, apa yang telah dan sedang dilaksanakan. Kita mahu semua rakyat tahu apa maklumat yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ ini.


“Agenda Sabah Maju Jaya kini berada di landasan yang tepat untuk membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri sejak dilancarkan pada Mac 2021. Kita telah menerima banyak pelaburan asing dan juga domestik, sejak dua tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Program Sabah Berselawat sempena Sambutan Hari RTM Ke-77 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu.


Jelas beiau, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat dan negeri ini.


"Pada minggu ini saja, saya telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Linaco dan Sawit Kinabalu bagi pembinaan sebuah Kilang Pemprosesan Kelapa Bersepadu bernilai RM200 juta di Langkon, Kota Marudu.


"Selain itu, Sabah juga telah merealisasikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan di dalam PSC Samarang dengan termeterai perjanjian dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), pada Jumaat.


“Ini antara usaha kita yang berterusan untuk memastikan lebih banyak pembangunan di bawa ke negeri ini. Saya berasa teruja melihat usaha Kerajaan Negeri untuk membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri ini dan rakyat telah menunjukkan kemajuan. Ini adalah sebahagian daripada bukti yang dapat kita rasa dan banggakan,” katanya.


Program Sabah Berselawat 2023 ini julung kali dianjurkan oleh RTM Sabah menerusi radio SABAHfm, sempena Sambutan Hari RTM Ke-77.


Ketua Menteri berkata, penganjuran Program Sabah Berselawat 2023 dapat meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai Islam.


Beliau berkata, majlis ilmu ini juga sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang berniat untuk mentamadunkan masyarakat dengan usaha perpaduan dan bersatu untuk memanfaatkan insaniah, ekonomi serta sosial.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page