KETUA POLIS DIGUGAT, APA NASIB RAKYAT MARHAEN?KETUA POLIS DIGUGAT, APA NASIB RAKYAT MARHAEN?
top of page
  • nabalunews

KETUA POLIS DIGUGAT, APA NASIB RAKYAT MARHAEN?



4 Mei 2021


1. Hari demi hari, semakin banyak berita yang mengemparkan melanda bumi Malaysia.


2. Dari skandal mega antarabangsa 1MDB, kes pembunuhan berprofil tinggi tanpa tangkapan dan hukuman yang sepatutnya, rasuah lompat parti politik berleluasa, dan hukuman kesalahan pandemik Covid yang tidak adil dan memilih bulu semuanya mengecewakan rakyat.


3. Terbaharu, dakwaan bekas ketua polis yang tegas memerangi rasuah, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan politik dalam susunan serta kenaikan pangkat pegawai polis.


4. Ini semua adalah kesalahan serius dalam mana mana negara demokrasi, tetapi malangnya di Malaysia ia seolah olah menjadi normal biasa yang rakyat dipaksa terimanya sebagai cara hidup.


5. Oleh kerana ini merupakan kesalahan yang amat serius, dua bekas Ketua Polis Tan Sri Hanif Omar dan Musa Hassan telah segera memberi sokongan padu kepada kenyataan Hamid Bador. Situasi sebegini tidak pernah berlaku di Malaysia di mana 3 bekas KPN menyanggah secara terbuka tindak tanduk kerajaan yang memerintah hari ini.


6. Tan Sri Hanif Omar yang merupakan KPN yang paling lama berkhidmat dan disegani menyatakan pada masa beliau tidak ada menteri yang campur tangan dalam urusan Ketua Polis. Ini amat penting untuk memastikan polis bebas menjalankan tugas dengan adil.


7. Tan Sri Musa Hassan pula mendedahkan ada ahli politik mengarahkan pesalah tertentu yang ada kaitan dengan ahli politik diminta dibebaskan dan ada arahan diberi terus kepada Ketua Polis Negeri tanpa pengetahuan beliau.


8. Apabila kerajaan Pakatan Harapan digantikan melalui jalan pintu belakang, rakyat dijanjikan kerajaan hebat nilai Melayu Islam yang murni dengan para ulama di dalam kabinet.


9. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya dan ianya melanggar segala tadbir urus bertamadun yang baik dengan keruntuhan akhlak yang berleluasa.


10. Ada di kalangan agamawan dalam kabinet bergelar ulama yang enggan memakai pelitup muka dan melanggar SOP Covid19 sementara rakyat biasa disaman belasan ribu.


11. Ada pula Perdana Menteri yang tanpa segan silu menawar imbuhan jawatan tertinggi kerajaan sebagai hadiah untuk sokongan politik dan apabila bekas KPN meminta bantuan sokongan rakyat melawan rasuah dan jenayah, siapa pula akan melindungi rakyat biasa jika ketua polis sendiri dalam situasi sedemikian rupa?


12. Jika KPN, jawatan tertinggi dalam negara tidak aman dan selamat, apakah nasib kita rakyat marhaen di bawah yang mengharapkan pelindungan polis? Di mana tempat kita mengadu dan meminta perlindungan?


13. Bagaimana situasi kita hari ini jika polis tertinggi pun tertekan? Pemerintah hari ini dengan senang membeli ahli politik untuk terus berkuasa dan bermaharajalela campur tangan dalam urusan polis hari ini.


14. Senario di Malaysia hari ini hampir mirip situasi anarki – huru hara negara dunia ketiga benua Afrika yang amat korup tidak berapa lama dahulu di mana kita pernah menghantar tentera pengaman.


15. Tetapi bukankah Malaysia sepatutnya mencapai status negara maju pada 2020 tahun lepas? Kenapa kita berada di tahap rendah begini rupa hari ini?


16. Imej Kerajaan Melayu Islam yang bersih dan adil dengan ulama dalam kabinet hanyalah janji kosong illusi, fatamorgana semata mata.


17. Sebagai hiasan penyeri majlis, para agamawan bisu dalam kabinet diperalatkan untuk mengaburi mata rakyat agar menyerahkan kepercayaan sepenuhnya secara wala' kepada kerajaan yang kini diselewenginya.


18. Setiausaha Agong PAS yang merupakan Menteri Undang Undang cuba mempertahankan tindakan salah Menteri Dalam Negeri Dato Hamzah Zainuddin yang mencampuri urusan polis yang mencacatkan perlaksanaan undang undang secara adil mengikut tuntutan Islam.


19. Bukan sahaja PAS kini bisu dalam isu RUU 355 dan hudud yang dahulu dilaungkan, undang undang sivil dan jenayah sedia ada pun hendak diselewengi demi kuasa.


20. Baru baru ini di Terengganu yang dikuasai PAS, beberapa pegawai kerajaan Yayasan Terengganu telah ditangkap dan digari serta direman selama 7 hari tetapi akhirnya dibebaskan.


21. Ramai pegawai kerajaan sangat marah apabila kakitangan kerajaan selalu di kambing hitamkan untuk cuba menutup kesalahan orang politik yang di katakan dari kalangan Menteri, EXCO dan ADUN.


22. Kalau pihak tertinggi Polis pun menjadi mangsa ahli politik ganas, tiada siapa lagi selamat dalam era normal baru kerakusan kuasa politik hari ini.


23. Rakyat perlu peka, bangkit dan mempertahankan undang undang dan mereka yang di tugaskan menguat kuasakan undang undang.


24. Setelah Parlimen ditutup, ulama dibisukan dan pihak berkuasa Polis dimanipulasi dan di kekang oleh tangan berkuku besi politik kerajaan dari melaksanakan keadilan, tiada siapa lagi akan selamat di bumi Malaysia hari ini.


SENATOR DATO’ RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Pengerusi HARAPAN Terengganu

Pengerusi AMANAH Terengganu


bottom of page