top of page

Keunikan Sabah Platform Terbaik Penerokaan Ilmu Penyelidikan

nabalunews
1 day ago
2 min read

26 Sept 2026


KOTA KINABALU: Keunikan Negeri Sabah yang kaya dengan kepelbagaian masyarakat, ekosistem marin dan daratan serta sumber alam membuka ruang luas untuk penerokaan ilmu dalam penyelidikan.


Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur berkata sebagai universiti yang berakar di Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa melihat keperluan sebenar masyarakat dalam bidang kesihatan, keselamatan makanan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.


"Sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi dan penyelidikan berimpak tinggi di Sabah, UMS menggunakan pendekatan makmal hidup bagi menterjemah hasil kajian saintifik kepada penyelesaian keperluan sebenar masyarakat.


"Sebuah sekolah di Pitas, misalnya, penyelidik UMS bekerja di lapangan untuk membangunkan sistem rawatan air berskala kecil bagi keperluan pelajar asrama.


"Usaha seperti ini menunjukkan bahawa penyelidikan yang baik bermula dengan mendengar, kemudian menguji dan menambah baik bersama komuniti," katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2026 di sini, pada Jumaat.



Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang juga Canselor UMS, seterusnya menyempurnakan lafaz perasmian APUMS 2026.


Tambah beliau, sehingga suku tahun kedua tahun ini, UMS merekodkan 33 makmal hidup di mana nilainya terletak pada perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat.


Kasim berkata, pendekatan itu seiring dengan Pelan Strategik UMS 2023–2027 menerusi agenda Translatable Research bagi memastikan penemuan ilmiah berkembang menjadi amalan, teknologi, dasar atau produk yang boleh dimanfaatkan secara terus.


"Kejayaan penyelidikan UMS bukan hanya diukur pada anugerah yang diterima, tetapi juga pada perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat Sabah" katanya.


Beliau memaklumkan UMS kini berada di kedudukan ke-214 di Asia dalam QS Asia University Rankings 2026, selain berjaya mempertahankan penarafan lima bintang dalam dapatan audit Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) pada Julai lalu.


UMS turut merekodkan komitmen geran luaran berjumlah RM18 juta menerusi 103 geran bagi tempoh 2025 hingga September 2026.


“Pencapaian Institut Marin Borneo yang diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) amat penting kerana Sabah memerlukan kepakaran sains untuk memelihara sumber lautnya serta membangunkan potensi ekonomi yang bertanggungjawab," tambah beliau.


Kasim juga memaklumkan perkembangan bidang inovasi UMS turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan menerusi penghasilan pelbagai reka cipta berprestij seperti Glucomur Functional Gel yang memenangi Anugerah Emas, Solar Vapour Generator, serta pempatenan teknologi AgroSpread.


Bagi menyokong pengkomersialan dapatan kajian, UMS menyediakan hab inkubasi CIPTA@UMS bagi membolehkan para penyelidik menguji prototaip dan menilai potensi pasaran sebelum dikembangkan sebagai produk atau perkhidmatan di peringkat industri.


Beliau turut menggesa seluruh warga penyelidik UMS untuk terus membudayakan integriti tinggi dalam pengurusan data, penerbitan dan dana penyelidikan, di samping membimbing penyelidik muda bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan ilmu.


"Kejayaan penyelidikan UMS bukan sekadar diukur pada anugerah yang diterima, tetapi pada sejauh mana ilmu yang lahir di universiti ini mampu kembali memberi manfaat dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah," katanya.


Turut hadir, wakil Ketua Menteri, Datuk Caesar Mandela Malakun, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr. Kasim Mansur dan Ahli Lembaga Pengarah UMS Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page