KGKS rayu JPA kaji semula penguatkuasaan "restroaktif' tafsiran baharu syarat kelayakan EPW - Murkam
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

7 November 2025
KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kebangsaan Sabah (KGKS) merayu kepada Jabatan Perkhidmataan Awam (JPA) supaya mengkaji semula penguatkuasaan secara restroaktif atau kuatkuasa ke belakang tafsiran baharu peraturan berkaitan Elaun Perumahan Wilayah (EPW) terhadap guru-guru yang telah menerimanya secara sah berdasarkan Panduan Pemberian EPW Tahun 2009 (JPA(BKP)548/1/12).
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata tafsiran baharu berkaitan kelayakan menerima EPW itu telah mengakibatkan ramai guru 'tertekan dan terbeban' menanggung hutang membayar balik EPW berdasarkan kiraan semula yang dikuatkuasakan ke belakang.
"KGKS berpendapat adalah tidak adil bagi guru-guru menanggung beban pembayaran semula EPW melalui potongan gaji yang telah membeli rumah menggunakan kemudahan Pinjaman Perumahan Kerajaan (LPPSA) sebelum tafsiran baharu kelayakan EPW dikuatkuasakan.
*Oleh itu KGKS merayu kepada JPA supaya mengecualikan guru-guru yang telah memperolehi kemudahan LPPSA mengikut tafsiran dan kira lama daripada pemotongan gaji mengikut kaedah retroaktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Murkam berkata KGKS turut merayu kepada Menteri Pendidikan supaya campur tangan bagi membantu menangani masalah yang dihadapi guru-guru terbabit.
Beliau berkata tafsiran baharu syarat EPW dan LPPSA menyaksikan pengiraan dibuat menggunakan ukuran radius garis lurus 25 km dan dilaksanakan secara retroaktif.
Susulan itu, Murkam berkata guru-guru terbabit diarahkan membayar balik EPW yang dikatakan terlebih bayar, yang telah diterima selama bertahun-tahun.
"Ada di kalangan mereka yang terpaksa bayar balik puluhan ribu ringgit. Inilah yang membebankan guru-guru di Sabah, khususnya mereka yang telah menerima kemudahan ini sebelum tafsiran baharu dikuatkuasakan, " katanya.
Beliau berkata berdasarkan analisis Psikologi dan Kesan Prestasi Guru Terlibat Tuntutan Balik (EPW), penguatkuasaan tafsiran baharu itul telah menimbulkan pelbagai kesan negatif.
Murkam berkata ini termasuk gangguan psikologi dan tekanan emosi kolektif dalam kalangan guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak.
Katanya antaranya tekanan emosi, Kebimbangan & Ketakutan,kemurungan, Keletihan Profesional, masalah tumpuan & prestasi dan kesan sosial dan keluarga.
"Saya tidak boleh tidur sejak menerima surat tuntutan. Rasa sangat kecewa sebab dulu kami ikut panduan rasmi JPA 2009. Sekarang disuruh bayar balik, seolah-olah kami menipu. Saya hilang semangat mengajar," kata seorang guru yang tidak mahu namanya disiarkan.
Seorang lagi guru dari Tuaran berkata:
“Elaun itu saya guna untuk bayar ansuran rumah. Bila disuruh bayar balik, saya terpaksa guna simpanan anak untuk universiti. Setiap kali ke sekolah, hati saya jadi kosong.”
Sebelum.ini, Murkam dipetik sebagai berkata bahawa pelaksanaan tuntutan 25km mengikut garis lurus tidak wajar digunapakai di negeri ini kerana keadaan muka bumi yang berbukit dan kemudahan infrastuktur seperti jalan raya masih kurang.
“Sebagai contoh guru yang bertugas di SK Penimbawan Tuaran…terdapat dua cara untuk ke sana iaitu memakai perahu ikut sungai yang mengambil masa antara 10 dan 15 minit bergantung kepada keadaan cuaca.
“Cara kedua ialah menggunakan kereta ikut jalan raya sejauh 78km. Ini bermakna pelaksanaan tuntutan 25km tidak sesuai dikuatkuasakan secara ketat," kata Murkam.














