KKD lancar program celik digital untuk OKU
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKD lancar program celik digital untuk OKU



6 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah melancarkan Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital yang bertujuan untuk menghubungkan komuniti OKU dengan agensi kerajaan dan meningkatkan literasi digital mereka.


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, program ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira status.


Beliau berkata program ini juga akan memastikan tiada golongan masyarakat terpinggir dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan, khususnya dalam era digital.


"Dunia digital bertindak sebagai pemboleh cara yang memberi peluang kepada komuniti ini berkomunikasi tanpa kekangan.


“Justeru, pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan digital belia OKU dilakukan bagi membolehkan mereka menggunakan peluang sebaik mungkin dan meningkatkan kebolehpasaran OKU dalam pekerjaan," katanya ketika merasmikan program itu di Pusat Komuniti IWK Eco Park, pada Ahad.


Fahmi berkata program ini menekankan empat objektif utama, iaitu peningkatan kesedaran dan advokasi kepada komuniti OKU, pendedahan kepada kewaspadaan jenayah siber, pendidikan dan perlindungan pengguna internet daripada risiko dan ancaman dalam talian, serta peningkatan tahap literasi digital Masyarakat.


Beliau berkata program ini akan disampaikan melalui beberapa modul yang merangkumi tiga aspek, iaitu kesedaran internet, keusahawanan digital dan pemerkasaan digital.


Modul-modul ini akan disampaikan oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta, antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Shopee.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page