top of page

KKDW peruntukkan RM6.15 bilion projek pembangunan di Sabah

  • nabalunews
  • Feb 23
  • 2 min read

23 Februari 2025


TAWAU: Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan projek pembangunan bernilai RM6.15 bilion untuk Sabah tahun ini.


Ia menjadikan Sabah sebagai antara negeri penerima peruntukkan tertinggi iaitu melebihi RM1 bilion setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan besar itu membuktikan komitmen kerajaan Pusat dalam membantu kerajaan negeri dan rakyat Sabah.

"Pada tahun ini, di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) RMKe-12, sebanyak RM1.11 bilion atau 14.8 peratus diperuntukkan kepada Sabah melibatkan 317 projek pembangunan.


"Komitmen ini akan berterusan selagi wujudnya kerjasama dan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa @ Tawau, di sini, hari ini.


Ahmad Zahid berkata, KKDW turut memperuntukkan RM18.78 juta untuk kesejahteraan pembangunan di daerah Tawau.


Katanya, ia merangkumi pelaksanaan pelbagai projek kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa.


“Antara projek utama yang dilaksanakan di Tawau, ialah pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM5.67 juta.


"Begitu juga dengan inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Sabah masih diteruskan bagi membantu golongan yang berkelayakan.


"Sebanyak 3,791 unit rumah diluluskan di bawah program ini iaitu 869 unit Bina Baharu dan 2,922 unit Baik Pulih membabitkan kos RM132.31 juta,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai program hari ini, Ahmad Zahid berkata, ia bertepatan dengan usaha membantu usahawan di daerah ini untuk mengembangkan potensi perniagaan mereka.


Katanya, KKDW memperuntukkan sebanyak RM6 juta pada tahun ini untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan desa melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).


“KKDW juga sentiasa melipatgandakan usaha bagi membantu usahawan desa meningkatkan kualiti produk dan prestasi agar usahawan desa dapat beralih kepada kategori Mikro dengan jualan sehingga RM300,000 setahun," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page