top of page

KKM laksana bayaran insentif pakar prawarta pegawai perubatan tamat latihan kepakaran

  • nabalunews
  • Jul 14, 2025
  • 2 min read

14 Julai 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Prawarta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) selepas tamat latihan kepakaran.


Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan BIPPW adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lepas.


"Sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada 2024, proses ini dikenali sebagai Proses Pewartaan Pakar, iaitu pegawai itu hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) setelah berjaya menamatkan proses pewartaan.


“Bayaran BIPPW akan diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE manakala kadar bayaran adalah sama seperti kadar bayaran bagi BIP dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai, melibatkan Gred 10 hingga 14,” menurut kenyataan itu.


SWE merupakan tempoh percubaan yang perlu dilalui oleh pegawai perubatan setelah berjaya tamat latihan kepakaran, dan diselia oleh pakar perubatan lebih kanan bagi memastikan mereka kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pakar.


Menurut KKM, pemberian insentif tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas pegawai sepanjang menjalani tempoh SWE yang melibatkan pelaksanaan tugas seperti seorang pakar perubatan.


“Ia juga merupakan langkah signifikan ke arah penjagaan kebajikan warga kerja KKM di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat,” katanya.


Dalam pada itu KKM berkata dengan berkuat kuasanya Akta A1729, semua latihan kepakaran yang dijalankan dalam negara adalah lebih teratur dari segi undang-undang.


“Mana-mana pengamal perubatan yang terjejas dengan isu pengiktirafan serta pendaftaran pakar khususnya mereka dalam bidang pembedahan kardiotorasik, perubatan keluarga, pembedahan plastik dan patologi generik kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada awal tahun 2024,” jelasnya.


“Pegawai perubatan yang menjalani SWE selaras dengan keteraturan proses yang berkaitan juga tidak perlu lagi bimbang mengenai elaun yang mereka layak terima,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page