KKM tanggung hampir seluruh kos rawatan dialisis pesakit kurang mampu
- nabalunews
- Sep 10, 2025
- 2 min read

10 September 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menanggung hampir keseluruhan kos rawatan dialisis bagi seorang pesakit kurang berkemampuan dengan subsidi sehingga RM1,630.50 sebulan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, subsidi itu meliputi rawatan hemodialisis yang dijalankan di 138 pusat dialisis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf KKM.
Katanya, kos rawatan keseluruhan bagi seorang pesakit adalah RM1,640.50 sebulan, dan dengan pemberian subsidi tersebut, pesakit hanya perlu menanggung kos tidak melebihi RM10 sebulan.
"Bantuan subsidi diberikan RM100 bagi setiap rawatan hemodialisis dengan tidak melebihi 14 kali sebulan serta suntikan eritropoietin bernilai RM18.50 untuk setiap suntikan sehingga 13 kali sebulan.
“Sebahagian kos lagi ditanggung NGO manakala pesakit hanya perlu membayar tidak melebihi RM10 sebulan. Kelulusan subsidi ini diberikan selama dua tahun dan pesakit boleh memohon untuk memperbaharui kelulusan bantuan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Prof Dr Mohamed Haniffa Abdullah mengenai pelan jangka panjang KKM untuk mengawal peningkatan kos rawatan dialisis, mengurangkan beban pesakit B40 serta mengoptimumkan penggunaan peruntukan awam.
Lukanisman berkata, kos rawatan dialisis yang tinggi memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan negara selain membebankan pesakit khususnya dalam kalangan B40.
Menurutnya, pelan jangka panjang dilaksanakan KKM bagi mengawal dan membendung beban kos dialisis secara lebih efisien, antaranya mengoptimumkan peruntukan awam melalui pendekatan pengurusan kos bersepadu dengan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban pesakit kronik.
“Inisiatif tersebut merangkumi aspek pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit di peringkat komuniti, selain memperkenalkan kurikulum kesihatan buah pinggang di sekolah serta menghadkan penggunaan ubat tanpa preskripsi yang boleh menjejaskan fungsi buah pinggang.
“Usaha turut digerakkan bagi memastikan akses yang saksama dan lestari untuk penjagaan kegagalan buah pinggang. Ini termasuk mengukuhkan dasar Peritoneal Dialysis First (PD First Policy) serta melabur dalam pengukuhan tenaga kerja dalam bidang penjagaan buah pinggang,” ujarnya.
Selain itu, mempromosikan program pendermaan buah pinggang, merapatkan jurang pendidikan mengenai penyakit buah pinggang dalam kalangan pekerja kesihatan, memantau beban penyakit buah pinggang dan meningkatkan penyelidikan berkaitan penyakit buah pinggang di Malaysia.















Comments