KKMM HARGAI IDEA GENERASI MUDA LAKSANA PELAN STRATEGIK KEMENTERIANKKMM HARGAI IDEA GENERASI MUDA LAKSANA PELAN STRATEGIK KEMENTERIAN
top of page
  • nabalunews

KKMM HARGAI IDEA GENERASI MUDA LAKSANA PELAN STRATEGIK KEMENTERIAN

28 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sentiasa mengadakan libat urus dengan generasi muda bagi mendapatkan input dalam melaksanakan pelan strategik kementerian itu.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata cadangan dan bakat daripada kalangan generasi muda akan membantu kerajaan mengetahui kehendak mereka dan menjadi panduan termasuk bagi memantapkan infrastruktur komunikasi negara.

"Kita memerlukan idea baharu yang segar dan sangat menghargai pandangan serta pendapat yang telah disampaikan oleh golongan muda, kita akan cuba laksanakan idea-idea ini untuk manfaat secara keseluruhan," katanya dalam sesi Meja Bulat Bersama Pemenang Pertandingan IDEAS4KKMM yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom di sini hari ini.

Turut serta Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid serta Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Idham dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.

Sementara itu, 10 pemenang pertandingan IDEAS4KKMM yang mengambil bahagian dalam sesi meja bulat tersebut berkongsi idea mereka mengikut topik berteraskan langkah Memantapkan Infrastruktur Telekomunikasi Yang Terpercaya, Berpatutan, Berkualiti Dan Kebolehcapaian; Memacu Ekonomi Digital Ke Arah Negara Maju; dan Memangkin Industri Kandungan Kreatif Yang Berdaya Saing Dan Bertaraf Global.

Antara yang menarik ialah idea Eriezen Dickel Beldon dari Labuan yang mencadangkan gabungan penggunaan teknologi solar dan sistem pemancar bergerak atau ‘mobile cell tower’ khususnya di kawasan pedalaman bagi menyelesaikan masalah capaian Internet di Sabah.

Muhammad Ariff Haidar dari Kedah mencadangkan penubuhan badan profesional untuk memberi pengiktirafan kepada pemain industri kreatif manakala Muhamad Asmaadi Abd Razak dari Pulau Pinang menyarankan penerbitan komik bertemakan kenegaraan dan patriotisme dengan kolaborasi kartunis terkenal tempatan.

Nurazlinda Zolkepre dari Johor pula mengutarakan cadangan agar semua Institusi Pengajian Tinggi digalak menceburi bidang industri kreatif melalui program 1 Mahasiswa 1 Karya Kreatif.

Dalam pada itu, Safuddin berkata KKMM menerima baik cadangan membukukan esei idea 10 pemenang pertandingan itu agar ia boleh diterbit dan dijadikan rujukan.

Pertandingan IDEAS4KKMM, yang bermula pada 9 Jun dan berakhir pada 10 Julai lepas, dibuka kepada semua warganegara Malaysia yang menetap di dalam atau luar negara dan berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun.

Kriteria yang dipertimbang untuk menilai cadangan dan idea terbaik bagi pertandingan itu ialah kebolehlaksanaan, mempunyai impak yang tinggi, memberi manfaat kepada kelompok sasaran yang besar serta cara penyampaian cadangan/ idea yang kreatif dan inovatif.

Pertandingan itu bertujuan mendapatkan idea dan cadangan terbaik berpandukan enam teras strategik dalam Kerangka Pelan Strategik KKMM 2019-2023.

Sebanyak 817 penyertaan telah diterima sepanjang tempoh pertandingan termasuk daripada mereka yang berada di luar negara seperti Cologne dan Leipzig di Jerman serta Korea Selatan.

Sepuluh penyertaan terbaik terpilih sebagai pemenang dengan hadiah pertandingan sebanyak RM1,000 selain sijil penghargaan dan menjadi tetamu dalam sesi meja bulat bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk berkongsi idea mereka.

Enam pemenang lain ialah Muhammad Nur Haziman Saloman, Divagaar Siva, Yuvarani Loganathan, Tharani Ramalingam, Muhammad Dhamir Audi Azizul, Nurazlinda Zolkepre dan Hanief Erza Eri Aswandi. – Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page