RM104,138.40 Barang Kawalan Dirampas, KPDN Tawau Amaran Tegas Tiada Kompromi
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TAWAU, 19 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau merampas barang kawalan bernilai keseluruhan RM104,138.40 dalam serbuan di Jalan Inderasabah, semalam, yang disyaki melibatkan aktiviti penyelewengan bersubsidi.
Rampasan pada 18 Ogos 2026 itu membabitkan 220 liter minyak petrol, 12 unit tong gas LPG, 340 kilogram minyak masak, serta sebuah kenderaan Mitsubishi Hilux Single Cab berwarna putih yang turut dirampas.

Kes berkenaan diserahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kepada KPDN Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN memberi amaran bahawa individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.
KPDN turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barangan kawalan dan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.















Comments