KKR uji teknologi baharu tampal jalan berlubang agar lebih tahan lama
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKR uji teknologi baharu tampal jalan berlubang agar lebih tahan lama


12 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengkaji penggunaan teknologi ‘premix getah sekerap’ untuk menampal jalan-jalan persekutuan yang berlubang dengan lebih tahan lama dan berkualiti.


Teknologi ini adalah salah satu daripada kertas-kertas cadangan yang diterima oleh KKR daripada syarikat-syarikat berkaitan, kata Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.


Beliau berkata, ujian pertama menggunakan teknologi ini telah dilakukan di Lojing, Gua Musang dan didapati memberikan hasil yang baik.


“Kita hendak tengok jangka hayat yang dijanjikan oleh syarikat yang memperkenalkan teknologi baharu berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanyakan sama ada kementerian akan memperkenalkan teknologi baharu supaya tampalan jalan lebih berdaya tahan dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus mengurangkan jumlah jalan berlubang.


Abdul Rahman menjelaskan, antara punca jalan kerap berlubang di kawasan tertentu adalah kerana ia dilalui oleh kenderaan yang melebihi muatan yang ditetapkan, iaitu 60 tan.


“Saya pernah bertanya (kepada pemandu) sebuah lori yang berhenti di tepi jalan. Dia kata, lebih kurang 100 tan kenderaan yang membawa muatan itu. Ini antara punca sebenarnya,” ujarnya.


Beliau turut memaklumkan, setakat April 2023, sebanyak 2,138 lubang di jalan persekutuan di seluruh negara telah ditampal.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page