top of page

KKRS, JKR diminta pantau projek naik taraf Jalan Utara Baru, empangan air Tawau

  • nabalunews
  • Jan 27
  • 1 min read

Samasuddin Yusop
Samasuddin Yusop

27 Januari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News

TAWAU: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diminta sentiasa memantau projek menaiktaraf Jalan Utara Baru dan Empangan Air Cinta Mata di Gudang Empat yang sedang dilaksanakan ketika ini.


Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, pemantauan itu perlu dilakukan supaya projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual dan dijalankan mengikut spesifikasi ditetapkan.


Katanya, projek naik-taraf Jalan Utara yang bermula sejak 2023 dijadual siap pada Januari 2027, manakala, empangan air dijangka siap tahun hadapan.


“Saya berharap kontraktor yang dilantik dalam projek menaiktaraf jalan itu, membuat rujukan kepada pihak Jabatan Air Daerah Tawau berkenaan lokasi paip-paip air sebelum kerja mengorek tanah dilakukan.


“Ini kerana, sejak kerja-kerja naik taraf jalan dimulakan pada 2023 lalu, kerap berlaku paip pecah sehingga catuan bekalan air terpaksa dilakukan dalam tempoh beberapa hari.


“Projek ini masih ada dua tahun lagi untuk disiapkan, kita tidak mahu dalam masa itu kerap berlaku catuan air disebabkan kecuaian pihak kontraktor,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Sementara itu, Samasuddin turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan yang meluluskan projek naik taraf jalan tersebut.


Katanya; ia sememangnya perlu diperbesarkan kerana kesesakan aliran trafik pada waktu puncak berikutan pertambahan jumlah kenderaan.


“Saya juga berharap lawatan menteri KKRS ke tapak projek empangan air baru-baru ini dapat memberikan jaminan projek dapat disiapkan seperti dijadual.


“Kita dapat makluman bahawa masalah air terawat di daerah ini disebabkan bekalan yang tidak mencukupi dan semakin mengecil berbanding permintaan.


“Justeru, rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan empangan itu tergendala kerana kerajaan negeri juga sudah mengumumkan keadaan kewangan Sabah pada tahap yang terbaik,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page