KKTP rangka polisi penghijauan untuk pembangunan landskap negeri Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKTP rangka polisi penghijauan untuk pembangunan landskap negeri Sabah


23 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah merangka beberapa polisi untuk memastikan pembangunan landskap Sabah yang berkualiti, berdaya huni, teratur dan terpelihara.


Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, antara polisi tersebut ialah Dasar Landskap Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon, yang bertujuan untuk menggariskan hala tuju dan membudayakan amalan rendah karbon dalam pembangunan.


Beliau berkata, rancangan inisiatif-inisiatif penghijauan akan terus diperkasakan melalui pelan tindakan Kementerian di bawah dasar ini kelak.


“Justeru, komponen HIJAU amat penting dalam usaha meningkatkan kecekapan PBT dalam merancang pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing,” katanya ketika merasmikan Bengkel Resolusi I-HIJAU Tindakan Bersepadu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Masyarakat di Zon 2, di sini, pada Selasa.


Beliau turut menyenaraikan beberapa polisi Kementerian yang membantu penghijauan ini, antaranya:


· Setiap kelulusan pembangunan mensyaratkan pemaju perumahan menyediakan minimum 10 peratus kawasan lapang yang berkeluasan satu ekar ke atas dalam penyediaan persekitaran kondusif iaitu ruang rekreasi kepada orang awam.


· Pelaksanaan Indeks Bangunan Hijau (GBI) diterapkan dalam reka bentuk binaan mengikut konsep kelestarian di mana tenaga, air dan bahan digunakan dengan cekap.

· Penyediaan sistem rangkaian pejalan kaki dan berbasikal, sistem jalan raya dan pengangkutan yang berkonsepkan HIJAU.


· Konsep HIJAU yang dimaksudkan adalah seperti pendigitalan lestari dan komponen HIJAU dalam penggunaan sistem lampu solar, sistem penuaian air hujan, material yang telap air (permeable paving), pemakaian 5R (Refuse, Reduce, Recycle, Reuse & Recovery) dan sebagainya.


Dr. Joachim berkata, bengkel tersebut merupakan kesinambungan program Festival I-HIJAU KKTP: Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya pada 15 Julai 2023.


Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada empat Majlis Daerah yang terlibat sama menjayakan program tersebut, Ahli-ahli Majlis serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat kerana begitu komited terhadap kesedaran pembangunan berorentasikan kelestarian alam sekitar.


Bengkel Resolusi I-HIJAU Tindakan Bersepadu PBT dan Masyarakat di Zon 2 melibatkan Majlis Daerah Keningau, Majlis Daerah Tambunan, Majlis Daerah Tenom dan Majlis Daerah Nabawan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page