Kluster baharu libatkan pekerja LHDN Sandakan

15 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu lagi kluster baharu hari ini dikenali sebagai Kluster Jalan Labuk Batu 7 - Sandakan melibatkan pekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Sandakan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu dikategorikan kluster tempat kerja.
“Kes indeks adalah lelaki tempatan yang mengalami gejala demam, batuk dan selesema pada 09 Disember 2021, disahkan positif dengan grading 97% melalui RTK Antigen Covid-19 di klinik swasta.
“Siasatan lanjut mendapati 19 lagi kes positif terdiri daripada ahli keluarga serta rakan sekerja kepada kes indeks,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, jumlah kes kumulatif dalam kluster ini adalah 20 kes termasuk tiga kes baharu dilaporkan pada hari ini.
Katanya, premis telah ditutup sementara untuk disinfeksi dan semua pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai.
Mengenai jumlah kes baharu seluruh Sabah, Masidi berkata kedudukan jangkitan Covid-19 di Sabah menampakkan tanda-tanda penstabilan apabila jumlah terbaru tidak banyak berubah dengan jumlah semalam.
“Jumlah kes baharu hari ini ialah 224 kes, penurunan lapan kes berbanding kelmarin dan tiada kes kematian direkodkan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, hampir 97 peratus daripada jumlah kes yang didaftarkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, yang hanya memerlukan pemantauan atau rawatan sama ada di rumah atau PKRC.
Comments