KLUSTER TANJUNG PITAS MERUPAKAN PENULARAN DALAM KOMUNITI NELAYAN
2 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini, dikenali sebagai Kluster Tanjung Pitas melibatkan penularan dalam komuniti nelayan di Mukim Mapan-Mapan, Pitas.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster ini mula direkodkan di Hospital Pitas melalui saringan bergejala terhadap kes indeks, suri rumah, 26, dari Kg Naruntung pada 27 Jun 2021 yang positif RTK-Ag.
Berikutan kes itu, Pejabat Kesihatan Daerah Pitas kemudian menerima 20 lagi kes positif RTK-Ag hasil saringan kontak yang dijalankan.
“Jumlah tersebut termasuk tiga kes positif daripada Makmal Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Pitas hasil saringan kontak serumah pada 28 Jun 2021 dan salah seorangnya adalah suami kepada kes indeks yang bekerja sebagai nelayan dan menjual ikan di Kg Taritipan Kota Marudu.
“Turut dikesan, satu kes hasil saringan komuniti di Kg Naruntung pada 29 Jun 2021 dan 16 kes PCR positif dalam kalangan penduduk Kg Naruntung pada 30 Jun,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 43 kes setelah 22 kes baharu dicatatkan pada 01 Julai 2021.
“Berdasarkan siasatan, terdapat dua kemungkinan yang menjadi punca jangkitan iaitu pergerakan penduduk kampung ke Pulau Banggi, Kudat sepanjang bulan Mei serta Jun dan pergerakan peraih ikan di Kg Naruntung yang menjual ikan di kawasan Pitas dan Kota Marudu.
“Pengesanan kontak rapat bagi ahli keluarga kes positif masih aktif dijalankan hingga sekarang,” katanya.
Comments