Skandal ADUN Sabah: Dua ADUN dan Individu Awam Akan Didakwa- Azam Baki
- nabalunews
- Jun 18, 2025
- 1 min read

18 Jun 2025
KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang individu awam akan didakwa berhubung kes rasuah melibatkan penerokaan sumber mineral di negeri ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika ditemui pada satu program di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah, di Sepanggar, dekat sini, hari ini.
Azam berkata, dua ADUN dan seorang individu awam itu sedang dalam proses untuk ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah akhir bulan ini.
"Ya, kes ADUN ini saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak ADUN dan seorang awam dalam proses untuk kita menjalankan tangkapan dan memberitahu mereka tarikh mereka kena hadir ke mahkamah.
"Tarikh saya tidak akan memberitahunya sehingga proses ini selesai tetapi saya beri jaminan mereka akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini, mungkin pada akhir bulan ini.
"Ia bergantung kepada tarikh mahkamah yang akan ditetapkan kerana mahkamah rasuah di Sabah ada tarikh-tarikh tertentu dan kita sedang mendapatkan tarikhnya daripada mahkamah
"Jadi mereka ini dalam proses untuk dipanggil untuk dijalankan proses rakaman percakapan," katanya.
Terdahulu, pagi tadi, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung skandal rasuah berkenaan.
Pengerusi Qhazanah Sabah itu dilihat tiba di ibu pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada kira-kira jam 8.45 pagi tadi.
Difahamkan, Dr Yusof adalah antara dua ADUN yang akan dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM hari ini.
Pada 12 Jun lalu, Azam dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah membabitkan ADUN tertentu di Sabah.
Katanya, beberapa individu sudah dikenal pasti dan tindakan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat.















Comments