top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kolej Teknologi Yayasan Sabah perkenal Menu Rahmah bantu golongan B40


Samin (dua kiri) bersama-sama Georgie (kiri) mencuba Menu Rahmah di Kafeteria KTYS Kampus Likas.

26 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) baru-baru ini menjadi Institusi Pengajian Tinggi pertama di negeri ini yang menawarkan Menu Rahmah di kedua-dua kantin kampus mereka yang terletak di Likas dan Sembulan.


Menurut Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki, pengenalan menu Ramhah itu bakal memberi manfaat kepada sejumlah 700 pelajar semasa dan 200 kakitangan di kedua-dua kampus kolej tersebut.


“Pengenalan Menu Rahmah ini bertujuan untuk membantu golongan B40 dengan menyediakan hidangan yang berkhasiat, bernutrisi, serta ditawarkan pada harga yang lebih munasabah.


“Hidangan yang dipilih dan direka dengan teliti memfokuskan kepada sajian makanan yang berkhasiat, bernutrisi serta ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan.


“Konsep Menu Rahmah menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) merupakan sajian makan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan, dan sayuran ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM5 sepinggan,” katanya semasa majlis pelancaran Menu Rahmah KTYS Kampus Likas.


Pengarah KPDNKSH Sabah, Georgie Abas dan Presiden Alumni KTYS, Pkhruddin Bian turut hadir dalam Majlis Pelancaran Menu Rahmah KTYS Kampus Likas.


Bagi pelajar Program Pembuatan Pastri Tahap 3, Ahmad Fadil Tahir, 23, pengenalan Menu Rahmah sangat memuaskan dan mampu mengurangkan beban kewangan serta memudahkan para pelajar mendapatkan hidangan seimbang.


Walau bagaimanapun, kantin KTYS turut bersedia menerima pelanggan dari luar kampus dan mengalu-alukan usaha ini sebagai inisiatif membantu golongan B40.


Selain pengenalan Menu Rahmah, KTYS juga turut menyediakan Tabung Kebajikan Pelajar khusus untuk membantu golongan pelajar yang terkesan.


KTYS juga mengadakan aktiviti memasak pada setiap Jumaat bagi memberi peluang kepada para pelajar makan secara percuma.

bottom of page