top of page
  • Wartawan Nabalu News

Komitmen tinggi semua pihak penting tangani masalah PATI di Sabah


Gambar Hiasan

23 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Penyelesaian isu pengurusan warga asing di Sabah memerlukan kerjasama dan komitmen tinggi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr.Latif Ahmad berkata kerjasama itu melibatkan isu penyeragaman dokumen, kewarganegaraan dan rundingan dengan Perwakilan Asing seperti Filipina dan Indonesia.


Selain itu katanya, iltizam politik serta komitmen tinggi daripada semua pihak termasuk pemimpin politik, ketua-ketua masyarakat dan kaum adalah perlu dalam mencari persamaan dan kesepakatan bagi menyelesaikan isu ini.


“Berkenaan cadangan pertama Laporan Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah pihak kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) pada 3 Disember 2014,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soal Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Isnin.


Madius ingin tahu tahap pelaksanaan setiap cadangan yang terkandung dalam Laporan RCI Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah.


Latif berkata, bagi pelaksanaan cadangan kad pengenalan khas kepada pendatang tanpa izin mesyuarat JKPWAS pada 12 Mei 2015 bersetuju pelaksanaan Pas Residen kepada pendatang asing di Sabah untuk mengelak risiko pemalsuan dokumen.


Bagaimanapun, katanya Pas Residen itu telah ditukar nama kepada Pas Residen Sementara Sabah (PRESS) pada tahun 2016.


“Pada tahun 2019, PRESS telah ditukar nama kepada Pas Sementara Sabah (PSS) dengan matlamat menggabungkan semua pemegang kad IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Kad Burung-Burung yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Pelaksanaan PSS ini telah dibatalkan pada 22 Januari 2020,” katanya.


Latif berkata, hasil libat urus dan penelitian oleh kerajaan negeri Sabah berhubung isu PTI akan dibincangkan semula dalam JKPWAS Teknikal yang akan datang sebelum dibentangkan dalam JKPWAS-Induk untuk pengesahan.


“Selepas itu, JKPWAS-Induk akan mencadangkan mekanisme penyelesaian isu pengurusan warga asing di Sabah untuk persekutuandan keputusan Sidang Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Comments


bottom of page