Koperasi 100 Terbaik jadi inspirasi, cadangan liga koperasi diteliti – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Koperasi 100 Terbaik jadi inspirasi, cadangan liga koperasi diteliti – Ewon


Ewon (tengah) ketika menjawab pertanyaan daripada wakil-wakil koperasi semasa dialog bersama 100 kopearsi terbaik.

12 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu koperasi yang tersenarai dalam 100 Terbaik menjadi inspirasi dan motivasi kepada koperasi-koperasi lain di negara ini.


Sehubungan itu katanya, cadangan supaya diwujudkan kategori koperasi premier, sederhana, kecil dan mikro dalam penentuan koperasi-koperasi terbaik di negara ini pada tahun depan akan diteliti.


“Saya mengadakan pertemuan bersama kesemua 100 koperasi terbaik untuk mendengar pandangan dan cadangan mereka, bagaimana memperkasakan gerakan koperasi di negara ini. Saya percaya pihak terbaik yang boleh memberi nasihat dan input yang terbaik adalah koperasi-koperasi yang berjaya ini.


“Kalau 100 koperasi ini berjaya, kenapa koperasi lain tidak boleh berjaya? Kenapa kita adakan profil 100 koperasi terbaik? Kerana kita mahukan satu inspirasi atau motivasi daripada kejayaan mereka. Sebab itu saya berharap kejayaan 100 koperasi terbaik akan menjadi inspirasi kepada koperasi-koperasi lain di negara ini untuk terus maju,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Dialog Bersama 100 Koperasi Terbaik selepas Peluncuran Dasar Koperasi Negara (DaKoM) 2030, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kementeriannya bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan, perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi.


“Kita mahu membangunkan koperasi sama seperti membangunkan PMKS dan antara cadangan yang saya terima ialah mengkategorikan koperasi kepada Koperasi Premier, Sederhana, Kecil dan Mikro,” katanya.


Beliau berkata pengkategorian itu perlu bagi memudahkan penentuan fokus keperluan perundangan dan bentuk bantuan yang diperlukan oleh koperasi kerana koperasi mempunyai cabaran tersendiri mengikut sektor dan saiz koperasi.


Ewon berkata, aktiviti ekonomi koperasi mengalami beberapa kekangan dalam konteks perundangan di peringkat nasional yang membataskan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi berprospek tinggi.



“Terdapat beberapa akta perundangan yang dikawal selia oleh Kementerian dan agensi Kerajaan yang tidak begitu mesra atau membataskan perniagaan koperasi.


“Sebagai contoh, akta perundangan melibatkan pengendalian agensi pelancongan, perkhidmatan kesihatan dan jagaan swasta serta pengendalian institusi pendidikan tinggi swasta.


“Justeru, saya memohon bagi pihak gerakan koperasi agar Kementerian wewenang dalam kawal selia perundangan tersebut dapat membantu serta mengiktiraf gerakan koperasi sebagai entiti perniagaan yang dibolehkan beroperasi seperti entiti perniagaan lain,” katanya.



Selain itu mengenai isu percukaian koperasi, Ewon berharap, agar Akta Cukai Pendapatan 1967 dapat mengiktiraf perbelanjaan yang dibuat oleh koperasi untuk kebajikan anggota termasuk perbelanjaan pelaksanaan Mesyuarat Agung Koperasi dan aktiviti CSR dibenarkan bagi pengecualian cukai.


“Ini bermaksud gerakan koperasi juga wajar dipertimbangkan untuk menikmati insentif cukai yang turut sama dinikmati oleh Syarikat, antaranya insentif cukai bagi Taraf Perintis dan Relief Kumpulan,” katanya.

bottom of page