Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat Sabah terima pembiayaan RM25 juta daripada SKM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat Sabah terima pembiayaan RM25 juta daripada SKM




11 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat Sabah Berhad menerima Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjumlah RM25 juta untuk membiayai aktiviti perladangan.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu adalah untuk pembelian tanah bagi penanaman kelapa sawit.


“Saya difahamkan koperasi mempunyai aktiviti perniagaan Ar-Rahnu. Tahniah kepada koperasi, atas usaha berterusan memajukan koperasi.


“Pembiayaan TMPSKM yang diperolehi oleh Koperasi ini adalah satu jumlah pembiayaan yang cukup besar yang diterima oleh koperasi di Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemantapan Rangkaian Perniagaan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi Negeri Sabah 2023, di sini, pada Isnin lalu.


Sehubungan itu Ewon berharap agar koperasi-koperasi terutamanya di Sabah berusaha mengembangkan aktiviti perniagaan agar dapat memberi manfaat kepada anggota-anggota dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.


“Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan oleh koperasi-koperasi lain yang berpotensi untuk menjana perniagaan pada skala yang lebih tinggi,” katanya.


Beliau berkata, KUSKOP sentiasa prihatin terhadap prestasi perniagaan usahawan dan koperasi dengan membawa pelbagai transformasi untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan koperasi.


Katanya, ini selaras dengan peranan Gerakan Koperasi menjadi wadah dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi rakyat seperti yang ditetapkan kerajaan sebagai sektor ketiga memacu pembangunan Malaysia yang mampan dan progresif.


Katanya lagi, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia terus komited membangun dan meningkatkan pencapaian koperasi ke tahap yang lebih tinggi.


Dalam hal ini katanya, pelbagai insentif telah diperkenalkan bagi mendorong dan menggalakkan koperasi mengembangkan perniagaannya.


“Antaranya pembiayaan mudah melalui Tabung Modal Pusingan TMP-SKM, Bantuan Pembangunan Koperasi, khidmat nasihat dan bimbingan untuk membolehkan jaringan kerjasama diwujudkan dalam kalangan koperasi dengan pihak swasta dan program pengembangan menerusi pendidikan dan latihan bagi melestarikan modal insan koperasi melalui Institut Koperasi Malaysia (IKMa),” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page