Koperasi sekolah seluruh negara berjaya sumbang RM326.58 juta melalui perolehan perniagaan sehingga Jun tahun lalu
- nabalunews
- Mar 7
- 1 min read

7 Mac 2025
BESERI: Koperasi sekolah di seluruh negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan perolehan perniagaan sebanyak RM326.58 juta sehingga 30 Jun 2024, hasil daripada 2,499 koperasi sekolah yang beroperasi dengan jumlah keahlian seramai 2.087 juta orang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Rusli Jaafar, peningkatan perolehan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, malah turut menyumbang kepada pemilikan aset koperasi.
"Gerakan Koperasi Sekolah kini memiliki aset berjumlah RM469.56 juta, manakala bagi negeri Perlis sahaja mencatatkan sebanyak RM4.79 juta," katanya ketika ditemui media pada Program Pengukuhan dan Pemantapan Koperasi Sekolah Negeri Perlis Tahun 2025 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Beseri, lapor Berita RTM.
Beliau turut memaklumkan bahawa 35 koperasi sekolah telah berjaya mencapai perolehan lebih RM1 juta, membuktikan koperasi sekolah mampu menjadi platform penting dalam meningkatkan sosioekonomi warga sekolah.
“Kita menggalakkan lagi lah. Setakat ini kita tak adalah usaha kita nak tetapkan KPI tu. Kita belum tetapkan sasaran tapi Insya-Allah sebab kalau berbanding dengan 35 dengan 2,500, angka tu agak jauh.
“Tapi kita berusaha lah, tapi bagi saya penekanan kepada sahsiah dan pendidikan kepada pelajar itu lebih penting, di mana mereka ini akan diharap menjadi barisan pelapis untuk gerakan koperasi di peringkat dewasa apabila keluar daripada alam persekolahan,” katanya.
Dalam program yang sama, SKM turut menyampaikan bantuan barangan keperluan persekolahan kepada 165 penerima, terdiri daripada anggota koperasi sekolah dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sepanjang tahun 2024, SKM turut menyalurkan bantuan berjumlah RM1.33 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Pembangunan bagi membantu operasi koperasi sekolah dan meningkatkan lagi perolehan mereka.
Comments