top of page
  • Wartawan Nabalu News

Koperasi sektor agro-makanan bantu rantaian bekalan dan keterjaminan makanan - Ewon


21 April 2024

By Wartawan Nabalu News


PAPAR: Penubuhan koperasi yang terlibat dalam sektor agro-makanan boleh membantu rantaian bekalan dan keterjaminan makanan dalam makanan.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan isu keterjaminan makanan termasuk bekalan beras dan pedaging antara keprihatinan utama rakyat.


“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM100 juta.


“Kemudahan ini merupakan satu inisiatif Kerajaan melalui KUSKOP untuk membantu menangani isu rantaian bekalan dan keterjaminan makanan melalui gerakan koperasi.


“Justeru, saya menggalakkan masyarakat dapat memulakan penubuhan koperasi setempat mereka untuk terlibat dalam aktiviti pertanian, penternakan, perladangan dan aktiviti lain di bawah sektor agro-makanan,” katanya.


Ewon menyatakan demikian dalam lawatan ke tapak ternakan ayam yang dibangunkan oleh Koperasi Kinabalu Lestari Berhad (KOKINA) di Kg Mook Kinarut, di sini, kelmarin.


Mengenai lawatan tersebut, Ewon menyatakan kebanggaan beliau kerana KOKINA merupakan koperasi baharu yang ditubuhkan tahun lepas tetapi sudah memulakan projek pembangunan ternakan ayam pedaging menggunakan modal syer anggota.


“Pada tahun lepas, SKM telah mendaftarkan 1,001 koperasi baharu iaitu sejarah pendaftaran terbanyak dalam satu tahun. Sudah tentu saya akan lebih bangga dan gembira sekiranya koperasi-koperasi ini sudah boleh memulakan perniagaan dan perkhidmatan mereka sebaik ditubuhkan.


“KUSKOP dan agensi-agensinya termasuk SKM sudah tentu mahu membantu. Koperasi-koperasi yang sudah mulai berniaga mempunyai justifikasi yang lebih besar untuk kita bantu bagi mengembangkan perniagaan mereka.


“KOKINA telah memulakan pembinaan kandang ternakan ayam pedaging dengan kos sebanyak RM450,000 menggunakan modal syer anggota mereka. Daripada taklimat KOKINA, projek ini sudah siap 70 peratus dan bakal memulakan kitaran pertama ternakan pada Julai ini.


“Sebab itu saya ingin menawarkan bantuan pembiayaan sebanyak RM100,000 di bawah skim Start-Up Financing-i (SuFi-1) kepada KOKINA sebagai tanda sokongan kepada perusahaan koperasi ini. Saya juga mengalu-akukan KOKINA memohon pembiayaan di bawah skim tabung modal pusingan agro-makanan SKM,” katanya.


Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Ahli Lembaga Pengarah SKM Datuk Wong Thien Fook dan Pengarah SKM Sabah Mathias Kundapin.

Commentaires


bottom of page