KPDN: 1,234 peruncit terlibat dalam PJRM sehingga 2 Sept 2025
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

4 September 2025
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,234 peruncit rakan strategik terlibat dalam Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) sehingga 2 September 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merangkumi pasar raya besar, pasar raya, pemborong, kedai runcit, koperasi, vendor logistik, pertubuhan dan 48 buah pasar awam.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Negara, penggal keempat, Parlimen Ke-15 Tahun 2025, disini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dato' Hajah Ros Suryati Alang yang meminta KDPN menyatakan jumlah PJRM di seluruh negara dan berapakah jumlah pasar raya besar, kedai runcit dan pasar awam yang terlibat dengan program Jualan Rahmah.
Armizan berkata, pada tahun 2023, sebanyak 6,870 PJRM telah berjaya diadakan dan jumlah ini meningkat kepada 12,419 PJRM pada tahun 2024.
“Manakala, dari 1 Januari 2025 sehingga 31 Ogos 2025, sebanyak 15,308 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Katanya, susulan daripada pengumuman peruntukan pada 23 Julai 2025 yang diumumkan Perdana Menteri untuk tambahan pelaksanaan PJRM bagi tahun 2025, sasaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah untuk melaksanakan sejumlah 20,000 siri PJRM iaitu peningkatan sebanyak 191 peratus berbanding tahun 2023 dan peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding 2024.
“Penganjuran ini meliputi 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Katanya, buat masa ini, penganjuran PJRM melibatkan kerjasama dengan rakan strategik untuk pelaksanaan melalui kaedah dalam premis, luar premis dan bergerak.
Armizan berkata, PJRM merupakan salah satu ikhtiar di bawah inisiatif Payung Rahmah. Ia merupakan salah satu mekanisme intervensi bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“PJRM menawarkan penjualan barangan keperluan harian, makanan dan bukan makanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa, sesuatu kawasan dan sekitarnya,” katanya.