top of page

KPDN keluarkan 950 notis menerusi Ops Kesan 4.0

  • nabalunews
  • Jul 25, 2025
  • 1 min read

25 Julai 2025


PUTRAJAYA: Sebanyak 950 notis dikeluarkan menerusi Ops Kesan 4.0 di seluruh negara sejak dilaksanakan 1 Julai lalu.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).


Dalam masa sama katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menerima 23 aduan untuk siasatan lanjut.


“Ops Kesan ini bertujuan mengawal sebarang pergerakan harga baragan dan caj perkhidmatan tanpa asas kukuh, sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan kestabilan harga serta melindungi hak pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Menurutnya, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan operasi, KPDN melaksanakan tiga pendekatan utama iaitu pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH), maklum balas aduan, serta risikan pasaran oleh Bahagian Penguat Kuasa.


Fuziah berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah dan bertentangan dengan perundangan pencatutan.


“Individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


“Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan,” katanya.


KPDN katanya, terbuka untuk memberikan nasihat berkaitan prinsip asas dan mekanisme penentuan pencatutan bagi memastikan peniaga sentiasa peka terhadap undang-undang yang sedang berkuat kuasa.


Ops Kesan 4.0 diadakan susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.


Operassi berkenaan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah atau melakukan pencatutan menggunakan SST sebagai alasan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page