KPDN laksana SHMMP Deepavali 2025
- nabalunews
- Oct 13
- 4 min read

13 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) deepavali 2025 berkuat kuasa dari 16 hingga 22 Oktober 2025 menjelang sambutan perayaan Deepavali 2025 pada 20 Oktober tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP ialah selama tujuh hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
"Bagi tahun ini, sebanyak sembilan jenis barangan akan dikawal di bawah Skim ini, berbanding lapan jenis barangan pada SHMMP Deepavali 2024.
Jenis barangan yang ditambah untuk tahun ini adalah bawang merah kecil India (Ros). Semantara barangan yang terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja) dan kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran pelaksanaan SHMMP sempena sambutan perayaan Deepavali 2025 di SICC hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
Katanya, selain faktor-faktor seperti permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca dan kadar upah, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dam tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri.
"KPDN juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim," katanya.
Armizan berkata, SHMMP Deepavali 2025 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat. Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2025 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
Katanya, pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli- belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh Skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan.
"Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan yang beretika.
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya," katanya.
Armizan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Di bawah AKHAP 2011.
Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan penalti melebihi harga Kesalahan menjual barangan harga terkawal maksimum.
"Dimana individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, dan syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000; kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
"Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.
Katanya, KPDN juga melaksanakan beberapa program khusus yang terkait dengan ikhtiar kos sara hidup.
Antaranya Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Deepavali dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Deepavali 2025 di laman web KPDN. Manakala, tempahan temujanji tarikh serta lokasi servis kenderaan SIM@PAX boleh dibuat melalui aplikasi "SETEL" oleh Petronas. Terdapat 94 buah premis bengkel di seluruh negara yang terlibat dalam pelaksanaan SIM@PAX sempena Deepavali bermula 5 hingga 19 Oktober 2025.
KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan yang lengkap melalui saluran berikut: WhatsApp 019-848 8000; Call Centre 1-800-886-800: E-mel e-aduan@kpdn.gov.my: dan dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
Sementara itu, Armizan berkata, KPDN melihat Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini sebagai pengukuhan kepada agenda reformasi yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI daripada pemberian subsidi secara pukal kepada pemberian subsidi secara bersasar.
Sebagai contoh, katanya pemberian bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai. RAHMAH (STR) dan bantuan sara hidup untuk membeli barangan keperluan melalui Sumbangan Asas RAHMAH (SARA).
Katanya, inisiatif pemberian bantuan tunai ini pada asalnya telah dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2012. Pada peringkat awal pelaksanaan program khusus bantuan tunai tersebut, jumlah maksimum diberikan kepada penerima yang layak adalah RM500 setahun dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.6 bilion.
Namun, katanya bermula tahun 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, program bantuan tunai telah diperkukuhkan melalui program Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) dan Sumbangan Asas RAHMAH (SARA).
"Ini termasuk peluasan kategori penerima, merangkumi golongan B40, M40 rendah, warga emas serta bujang. Selain itu, kadar bantuan juga telah ditingkatkan mengikut kategori dengan jumlah tertinggi iaitu RM4,600 setahun diterima oleh isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan dengan tanggungan 5 orang anak," katanya.
Armizan berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI akan meneruskan pemberian STR dan SARA dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas yang akan menerima sebanyak RM100 melalui pemberian SARA untuk semua.
"Bermula Januari 2026, semua penerima STR akan turut menerima SARA bulanan sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun. Bagi penerima STR di bawah program e-kasih, bantuan SARA akan ditingkatkan kepada sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun. Manakala, penerima kategori bujang turut menerima SARA RM50 sebulan atau RM600 setahun," katanya.


















Comments