KPDN, MoF bekerjasama perluas akses penerima SARA
- nabalunews
- Jul 27
- 2 min read

27 Julai 2025
RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memperluaskan akses kepada penerima Sumbangan Asas RAHMAH (SARA)untuk membeli barangan keperluan asas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pada masa ini, penerima SARA boleh membeli barangan keperluan asas di 4,152 premis pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara termasuk 470 Premis di Negeri Sabah.
Katanya, selain pembelian di premis-premis tetap sedia ada, KPDN mencadangkan agar bantuan SARA juga boleh diguna pakai untuk pembelian di Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Bergerk kelak.
"Inisiatif ini membolehkan para penerima SARA khususnya di kawasan luar bandar dan pendalaman membuat pembelian menggunakan bantuan SARA yang diberikan di dalam MyKad di lokasi-lokasi PJRM Bergerak," katanya.
Bagi Negeri Sabah, katanya sehingga Julai 2025 sebanyak RM410 juta telah disalurkan kepada 830,000 penerima Sumbangan Tunai RAHMAH (STR). Manakala RM500 juta juga telah disalurkan kepada 506,000 penerima SARA.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sabah, di Kompleks Sukan Ranau, malam tadi.
Armizan berkata, KPDN meneruskan penganjuran Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia Siri 2 Tahun 2025 bagi Zon Sabah di Ranau.
Katanya, penganjuran program selama tiga hari bermiula 25 hingga 27 Julai 2025 ini dijangka akan menarik seramai 60 ribu pengunjung.
"Objektif utama penganjuran adalah untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan di akar umbi khususnya perkhidmatan di bawah tanggungjawab dan kefungsian KPDN," katanya.
Katanya, Karnival KPDN 2025 juga menjadi pemangkin dalam memperkasakan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 menerusi tema "Jom Beli Lokal" sebagai sokongan berterusan terhadap produk tempatan dan pengukuhan ekonomi domestik.
"Kempen ini adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi domestik sekali gus membantu usahawan dan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam peluasan jaringan pasaran," katanya.
"Pada masa yang sama, inisiatif ini memberi ruang untuk menonjolkan kualiti produk tempatan yang boleh menjadi pilihan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import," katanya.
Armizan berkata, KPDN menyambut baik tambahan peruntukan PJRM sebanyak RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.
Katanya, melalui peruntukan tambahan ini, KPDN akan meningkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM di seluruh negara dengan sasaran 20 ribu siri pelaksanaan PJRM sepanjang tahun 2025.
"Bagi negeri Sabah, KPDN menyasarkan sebanyak 2,276 siri PJRM sepanjang tahun ini. Bermula 1 Januari hingga 26 Julai, sebanyak 1,089 siri PJRM telah dilaksanakan di Sabah," katanya.


















Comments