top of page

KPDN Siasat Dakwaan Kuantiti, Kualiti RON95 Diragui

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

ree

1 November 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius dakwaan tular di media sosial yang mendakwa pengguna menerima minyak petrol RON95 dengan kuantiti dan kualiti diragui selepas pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).


Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, susulan dakwaan tersebut, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali telah mengarahkan tindakan segera dan menyeluruh diambil bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus agar hak pengguna terus dilindungi.


“Sehingga kini KPDN telah menerima sebanyak enam aduan rasmi berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95, namun tiada aduan rasmi diterima berhubung isu kualiti rendah.


"Sehubungan itu, pegawai penguat kuasa KPDN sudah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


Azman berkata, antara tindakan yang diambil termasuk pemeriksaan terhadap pam minyak serta semakan rekod jualan stesen.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan di bawah bidang kuasa kementerian itu.


"Kementerian ingin menegaskan pelaksanaan Budi95 tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.


“Walau bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan dijalankan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan bagi memastikan pematuhan sentiasa terjamin,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) boleh dikenakan tindakan undang-undang.


Menurut Azman, syarikat yang melanggar peraturan boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh mencecah RM500,000.


"Bagi individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.


"Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali," jelasnya.


Dalam pada itu, Azman turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan supaya menyalurkan laporan rasmi kepada KPDN bagi tindakan lanjut.


"KPDN memberikan komitmen bahawa setiap aduan yang dikemukakan berserta maklumat berkaitan akan disusuli dengan tindakan segera,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page