top of page

KPKT peruntuk RM34.2 juta untuk lapan projek naik taraf dan pembangunan Sandakan

  • nabalunews
  • Jul 10, 2025
  • 2 min read

Nga merasmikan Dewan Jalan Singapore Sandakan.
Nga merasmikan Dewan Jalan Singapore Sandakan.

10 Julai 2025


SANDAKAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM34.2 juta untuk lapan projek naik taraf serta pembangunan daerah Sandakan.


Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, lapan projek dibawah seliaan KPKT itu melibatkan pembinaan sel Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Labuk, dengan kos RM30 juta yang dijangka siap pada 16 Ogos 2027 dan akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 penduduk di Sandakan.


Katanya, apabila siap nanti, ia mampu menampung 300,000 tan metrik sampah pada satu-satu masa.

Nga dan Vivian meninjau Taman Jalan Singapore.
Nga dan Vivian meninjau Taman Jalan Singapore.

“Projek ini merupakan antara inisiatif utama bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal di Sabah ke arah kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.


“Ketika ini, Sandakan tidak mempunyai tapak pelupusan sisa pepejal itu manakala di Sabah mempunyai 22 tapak pelupusan sedia ada. 


“Permintaan tapak itu juga disuarakan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee semasa sidang Parlimen untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Jalan Singapore di sini sejurus lawatan siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT, pada Khamis.


Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan wakil Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Irman Tajuddin Edy yang juga Setiausaha Perbandaran MPS dan delegasi KPKT.


Dewan yang telah terbengkalai sejak lebih 20 tahun lepas itu kini siap dibaiki dengan kos RM400,00 dan kini menjadi gelanggang pickle ball yang pertama di Sabah yang akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar untuk melakukan aktiviti riadah. 


Lawatan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan perpaduan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Sabah terus diberi perhatian sewajarnya.


Nga berkata, projek ketiga melibatkan kerja menaik taraf bangunan dan kerja-kerja berkaitan di Taman Singapore yang dilaksanakan melalui Program Tabung  Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di bawah seliaan Jabatan 

Perumahan Negara (JPN). 


Peruntukan RM500,000 disalurkan untuk mengecat 4 blok Apartment Taman Singapore. 


Katanya, KPKT turut memberi peruntukan  tambahan sebanyak RM500,000 lagi untuk mengecat blok-blok lain di Apartment Taman Singapore. 


“Projek ini memberi tumpuan kepada pembaikan fizikal dan penyelenggaraan kemudahan asas bagi menjamin kediaman strata yang selamat, bersih dan selesa. 


“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 28 Julai ini,”katanya.


Sementara itu, KPKT juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi kerja-kerja naik taraf di empat pasar, iaitu Pasar Elopura, Pasar Kim Fung. Pasar Umum, dan Pasar Sim-Sim.


“Ia termasuk penambahbaikan meja-meja gerai bagi meningkatkan keselesaan penjaja tempatan dimana setiap pasar menerima RM500,000 untuk kerja berkenaan,” katanya.


Dalam masa yang sama, katanya, KPKT juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi pembinaan bumbung gelanggang bola keranjang di Taman Indah Jaya selain RM400,000 lagi untuk menaik taraf Gelanggang Futsal di PPR Harmoni. 


Dalam lawatan kerja sehari beliau ke Sandakan, Nga turut melawat perumahan atau Residensi PRIMA Borneo Cove, sebuah projek perumahan mampu milik yang telah siap dibina pada 19 Mei 2021 yang terletak di atas tapak seluas 9.53 ekar dengan lokasinya yang strategik di Jalan Buli Sim-Sim yang menjadikannya pilihan ideal untuk penduduk setempat.


Projek itu menyediakan 999 unit apartmen dalam tiga blok kediaman lengkap dengan pelbagai fasiliti termasuk dewan serba guna, taman permainan, surau, tadika, taska dan gelanggang futsal.


"Kejayaan pelaksanaan projek-projek ini adalah hasil kerjasama strategik antara KPKT, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri Sabah." Katanya.


Sinergi yang erat ini membolehkan setiap projek diselia dengan baik serta memberi manfaat optimum kepada rakyat.


Beliau juga menegaskan usaha-usaha ini sejajar dengan visi KPKT untuk memperkukuh kesejahteraan dan kemakmuran komuniti di seluruh negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page