KPM bakal umum garis panduan larangan telefon di sekolah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

18 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dan mengeluarkan garis panduan baharu dalam masa terdekat berhubung cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi pelajar bawah umur 16 tahun.
KPM dalam kenyataan berkata, langkah itu susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang menetapkan beberapa tindakan segera bagi meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan di seluruh negara.
"KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menggariskan langkah segera, termasuk larangan berkenaan bagi menangani isu keselamatan termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di institusi pendidikan," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.
Jelasnya, mekanisme pelaksanaan dasar itu akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kementerian itu turut menegaskan semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya perlu memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan sekolah dapat ditingkatkan.
"Kerjasama rentas kementerian dan agensi merupakan cerminan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” tambah kenyataan itu.
Comments