top of page
nabalunews

KPM dalam proses nilai kerosakan Sekolah terlibat banjir - Fadhlina


8 Disember 2024


BUTTERWORTH : Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses membuat penilaian bagi kerosakan yang dialami sekolah-sekolah yang terlibat dengan gelombang pertama banjir di sembilan negeri baru-baru ini, kata Menterinya Fadhlina Sidek.


Beliau berkata KPM sudah mengenal pasti sekolah berkenaan dan sedang membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan banjir berlaku lagi.


“Gelombang pertama kita dah ada bilangannya, cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terlibat dan kita juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya, di sini hari ini, lapor Bernama.


Fadhlina berkata beliau berpuas hati dengan semua persiapan yang telah dilaksanakan KPM setakat ini, termasuk mengaktifkan Ops Payung bagi memastikan kelancaran Ujian Amali Sains bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual berlangsung ketika negara dijangka dilanda gelombang kedua banjir.


“Esok, Selasa dan Khamis kita ada Ujian Amali Sains dan diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16 hingga 19 Disember), jadi persiapan dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.


Semalam Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan KPM untuk menyalurkan bantuan segera bagi membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir kembali beroperasi secepat mungkin.


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Rabu ini di tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.

Comments


bottom of page