KPM digesa tangani isu kelemahan SPPKPM digesa tangani isu kelemahan SPP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM digesa tangani isu kelemahan SPP


12 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk menangani isu kelemahan sistem Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang membabitkan pengambilan khas guru secara ‘one-off’.


Presiden Persatuan Guru Ikhtisas Pendidikan (GIP) Fadhli Hassim meminta agar KPM meneliti semula berkenaan 200 calon GIP yang digagalkan sebelum ini, termasuk calon yang ditemuduga ‘berjaya’ dan ‘tidak berjaya’.


"Isu tersebut adalah perkara baharu di mana calon sudah melalui temu duga, mengemukakan dokumen yang diminta dan menerima surat tawaran tetapi kemudiannya digagalkan atau ditarik semula pelantikan.


“GIP berharap Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memandang isu ini dengan lebih serius bagi memartabatkan taraf dan mutu pendidikan di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.


Menurut Fadhli, tindakan susulan dari pihak KPM perlu untuk menangani isu calon yang tertindas.


Jelasnya lagi, pihaknya turut menerima aduan yang tular di Facebook menyatakan badan pelantikan itu sudah melakukan kesilapan sejak 2015 apabila ramai calon yang digagalkan tanpa menerima makluman secara hitam putih.


“Kebanyakan calon yang gagal adalah graduan tahun akhir yang layak untuk memohon dan sudah melepasi temu duga serta sudah mengemukakan dokumen yang diminta seperti dokumen sokongan seperti surat senat, transkrip dan surat tamat belajar dari universiti,” ujarnya.


Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan (KPM) II, Datuk Mohamad Alamin, berkata KPM mengakui berlaku kelemahan dalam sistem pengambilan khas guru secara ‘one-off’ dan ia perlu diperbaiki.


Tambahnya, KPM sudah mengadakan perbincangan bersama SPP bagi mengatasi isu berbangkit.



bottom of page