KPM harus sensitif terhadap perbezaan budayaKPM harus sensitif terhadap perbezaan budaya
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM harus sensitif terhadap perbezaan budaya



5 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan harus sensitif terhadap perbezaan budaya berbilang kaum dan budaya masyarakat di negara ini.


Pensyarah International Islamic University Malaysia Prof Suhailah Hussein berkata, perkara itu penting bagi mengelak sebarang kesulitan dan salah faham dalam sesuatu perancangan atau pelaksanaan berkaitan program pendidikan.


Sebelum ini, pada 18 Nov 2021 timbul isu penjadualan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang jatuh pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad iaitu bertembung dengan hari ibadat bagi beberapa penganut agama di negara ini.


Meskipun KPM telah mengeluarkan jadual baharu SPM namun, KPM sekali lagi menukar Ujian Mendengar bagi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang jatuh pada 19 Feb 2022 (Sabtu).


“Malaysia merupakan negara majmuk dan berbilang kaum, tetapi kita tidak sensitif terhadap perbezaan budaya.


“Misalnya dari segi kesilapan KPM menjadualkan semula ujian itu, mungkin ia disebabkan mereka lebih fokus kepada faktor-faktor pengurusan dan pentadbiran dengan mengambil kira faktor tamatnya penggal, mula penggal, musim cuti, jangka masa peperiksaan dan masa untuk penilaian serta kemasukan markah berbanding menekankan pemahaman tentang sesitiviti budaya dalam aspek pembuatan jadual tersebut.


“Kalau kita tidak selesaikan atau tidak mengambil berat tentang culture intelligence memang perkara ini akan sentiasa berulang,” katanya dalam webinar “Falsafah Pendidikan Kebangsaan: Jadual Peperiksaan SPM”, semalam.


Suhailah adalah antara ahli panel webinar itu anjuran Wisdom Foundation.


“Setakat ini saya tidak nampak kesedaran dalam sistem pendidikan kita untuk menekankan perkara ini (culutural intelligence).


“Kita seringkali bercakap soal membina perpaduan dan nation’s building tapi dari segi manakah kedudukan culture intelligence ini sebenarnya yang kita letakkan dalam institusi pendidikan sama ada pendidikan rendah atau tinggi?


“Faktor corak politik di Malaysia juga tidak membantu dalam membina sebuah negara yang memahami perbezaan budaya dan agama,” katanya.


Menurutnya lagi, segala polisi dan kurikulum yang baru jika hendak dibentuk perlulah berasaskan aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang memberikan hala tuju kepada sistem pendidikan negara.


“Bagaimanapun amat penting bagi kita untuk memahami apakah aspirasi FPK itu. Seperti kepercayaan kepada Tuhan.


“Saya rasa dalam banyak-banyak negara hanya Malaysia sahaja yang menetapkan aspirasi itu dalam falsafah pendidikannya. Negara lain tidak ada (kepercayaan kepada Tuhan).


“Bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah sejauh manakah pelaksanaannya? Kalau kita lihat semua pelan-pelan pendidikan yang ada memang cantik di atas kertas. Kita sentuh tentang akses, ekuiti dan tadbir urus yang baik tetapi bagaiman kita kaitkannya dengan FPK?,” katanya.


Mengulas lebih lanjut, beliau berkata FPK sarat dengan penekanan nilai, pembinaan sahsiah dan juga kepercayaan kepada Tuhan.


“Saya rasa KPM terlepas pandang perkara ini dan saya kira perkara ini akan terus berlaku jika kita tidak sedar kesilapan dan kekurangan kita.


“Namun, kita kena faham transformasi pendidikan bukan hanya bergantung kepada kementerian tetapi merupakan tanggungjawab semua pihak, sama ada institusi sosial, ekonomi, politik dan masyarakat,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page