KPM laksana reformasi serta-merta tingkat keselamatan sekolah
- nabalunews
- Oct 16
- 2 min read

16 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan reformasi serta-merta ke atas sistem dan mekanisme sedia ada selain memperkasa program pendidikan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, lima fokus utama yang menjadi teras kepada reformasi itu ialah kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, pencegahan bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak serta sistem sokongan guru dan suara murid.
Katanya, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan di kerah untuk pelaksanaan serta-merta secara praktikal dan efisyen di semua 10,243 sekolah seluruh Malaysia.
“KPM akan menilai keberkesanan usaha ini secara intensif dan berkala. Pemantauan dan penilaian pelaksanaan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan pihak sekolah akan dinilai semula setiap 15 hari.
"Menteri dan timbalan menteri serta pengurusan tertinggi KPM akan terus bertemu dengan warga pendidik dan murid bagi mendengar dan mendapatkan input berkaitan pelaksanaan inisiatif ini," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata reformasi itu merentasi kementerian terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Selain itu, katanya ia juga melibatkan pendekatan seluruh masyarakat iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghadapi cabaran itu.
“Kerangka ini menekankan pendekatan holistik yang bukan sahaja melibatkan pihak sekolah tetapi juga ibu bapa, agensi kerajaan, dan komuniti.
“Dengan pelaksanaan yang terancang dan pemantauan berterusan, KPM berhasrat mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, inklusif, dan sejahtera untuk semua warga sekolah,” ujarnya.


















Comments