KPM mansuh Sistem Pengurusan Latihan tahun depan
- nabalunews
- 27 minutes ago
- 1 min read

14 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPL KPM) tahun hadapan dalam usaha mengurangkan beban tugas guru.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian meneliti pelbagai intervensi sebelum ini termasuk mengenal pasti kekurangan dan keperluan sebenar bagi menangani isu beban tugas guru dari semasa ke semasa.
“Ini adalah susulan daripada apa yang kita dapati berkaitan dengan komitmen kita untuk terus mengurangkan beban guru.
"Kita telah melakukan banyak intervensi dan melihat kekurangan-kekurangan serta bagaimana beban tugas guru ini harus ditangani secara berterusan,” katanya menurut Sinar Harian.
Fadhlina berkata, sebelum ini KPM telah mengumumkan penambahbaikan melibatkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) manakala pemansuhan SPL KPM pula dijangka memberi kesan langsung terhadap kebajikan guru dan pengurangan beban kerja mereka.
Menurutnya, SPL KPM sering menjadi antara perkara dibincangkan dalam kalangan warga pendidik kerana dianggap boleh mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki di dalam bilik darjah.
“Guru-guru sering mempersoalkan perkara ini dan mereka mahu melihat supaya tidak terikat dengan urusan yang boleh mengganggu tugas hakiki mereka
“Sehubungan itu, pada tahun hadapan, KPM mahu guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran di dalam kelas khususnya melibatkan pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan yang sedang dirangka," jelasnya.
Tambah beliau, SPL KPM dihapuskan dengan hasrat untuk memberikan keyakinan kepada guru dan sebagai usaha konsisten untuk terus mengurangkan beban mereka.
SPL adalah portal dalam talian untuk guru dan pegawai KPM menguruskan maklumat latihan profesional, merekod Kredit Pembangunan Profesional (CPD) serta mengakses kursus dalam talian dan mendapatkan sijil digital.
Selain itu, ia turut berperanan sebagai pusat sehenti untuk pembelajaran kendiri dan pembangunan kerjaya dalam sektor pendidikan bagi menggantikan sistem lama seperti eSPLG/SPLG.














