KPM tegaskan larangan unsur ekstremisme dalam Minggu Solidariti Palestin
28 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya tidak boleh memaparkan unsur ekstremisme dan keganasan.
Ini berikutan kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang didakwa melanggar panduan KPM.
Menurut KPM, program tersebut adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan KPM.
“KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme di sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin.
“Penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan media pada hari Jumaat.
Jelas KPM, tujuan penganjuran Minggu Solidariti Palestin adalah untuk mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
"KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendokong isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, seyembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program ini," jelasnya.
Tambah KPM, semua institusi bawah kementerian itu diminta untuk sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang telah ditetapkan.
“Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati,” katanya.
Comments