KPWKM cadang hukuman berat untuk pendera kanak-kanak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPWKM cadang hukuman berat untuk pendera kanak-kanak


4 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Pendera kanak-kanak mungkin menghadapi hukuman yang lebih berat sekiranya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia yang dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.


Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata rang undang-undang itu bertujuan untuk melindungi kepentingan kanak-kanak dengan lebih efektif dan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.


Beliau berkata kementeriannya telah memberi cadangan kepada pihak berkuasa supaya mengenakan hukuman yang setimpal kepada pendera, termasuk hukuman sebat, tetapi ada pihak yang tidak bersetuju.


"Kita mahu mereka (pendera) diberi hukuman yang berat sekali walaupun (pelaksanaan undang-undang itu) bukan di bawah kami, tetapi kami memberi cadangan kepada pihak yang berkenaan serta pentingnya ada persefahaman antara kementerian saya dengan suruhanjaya itu supaya tidak bertindih," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Kasih Keluarga Segulai Sejalai di sini pada Ahad.


Terdahulu, rang undang-undang itu telah dirangka selepas mendengar pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.


Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan 20 tahun penjara bagi mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah kerana mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page