KREATIF CARI PELUANG JANA PENDAPATANKREATIF CARI PELUANG JANA PENDAPATAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KREATIF CARI PELUANG JANA PENDAPATAN


Ceria, kunci kejayaan Nadianah dalam menjalankan perniagaan secara dalam talian.

16 Jan 2021

Oleh Zaphy Evan


Keadaan semasa yang kian mencabar khasnya dalam sektor ekonomi membawa perubahan kepada norma baharu kehidupan manusia, termasuk urusan jualan serta urus niaga.


Selain daripada menjadikan cabaran dan faktor sekeliling sebagai satu suntikan semangat, pastinya daya kreativiti dalam menjana pendapatan turut mampu menyumbang kepada sumber rezeki bagi membantu keluarga.


Nadianah Lapiaman, ibu muda yang kini giat mengusahakan perniagaan secara dalam talian nyata tidak kekok untuk berkongsi pengalaman beliau bersama semua orang, khasnya bagi generasi muda untuk turut membantu keluarga menjana pendapatan.


"Dengan keadaan masa ini, kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana COVID-19, dan ditambah pula masalah bencana alam seperti hujan lebat dan banjir, pasti agak sulit untuk kita menjana pendapatan kerana pergerakan kita terbatas.


"Namun ini tidak menghalang untuk kita sentiasa tawakal dalam berusaha membantu keluarga menjana pendapatan kerana saya percaya tidak ada yang sia-sia jika kita mencurahkan usaha," katanya ketika dihubungi Nabalu News baru-baru ini.


Ibu kepada seorang cahaya mata dan bakal menimang seorang lagi cahaya mata baharu ini ternyata amat bersemangat dan sentiasa bijak mencari ruang dengan menggunakan teknologi dalam mengendalikan urusan perniagaan dalam talian beliau.



"Sekarang memang agak terjejas hasil jualan, tipulah jika saya cakap tidak ada yang terjejas kerana hasil jualan barang mekup juga berkurang sedikit, namun saya cuba menambah jualan saya dengan meneroka cabang baharu iaitu menjual pakaian kanak-kanak dan meneruskan jualan biskut saya.


"Permintaan ada turun naiknya tapi sejak saya mula menjinakkan diri dengan jualan pakaian kanak-kanak, saya lihat, permintaan dari warga net, ibu-ibu yang suka menggayakan anak-anak mereka dengan pakaian comel, agak memberangsangkan," katanya lagi.


Menurut Nadianah, kekangan disebabkan kerana PKP turut menghadkan pergerakan beliau untuk menghantar barang jualan kerana tidak dapat merentas sempadan daerah.


"Terhad sekarang sebab tuidak dapat COD di semua kawasan dan jika guna runner pun, kadang-kadang pelanggan agak cerewet dan tidak mahu mengeluarkan kos extra untuk bayaran kos penghantaran oleh runner, jadi ini turut menjejaskan hasil jualan.


"Tapi saya tetap perfikiran positif dan terus berjualan seperti biasa, memuat naik barang jualan dan iklan saya di media sosial kerana saya yakin, akan ada pembeli yang akan membuat pesanan dan jika rezeki, pasti dapat juga terjual," jelasnya lagi.



Tambah Nadianah, beliau kini juga memfokuskan kepada jualan secara luar talian, iaitu berdepan dengan pelanggan yang berada di kawasan perumahan, keluarga dan rakan-rakan yang berdekatan.


Katanya, dalam masa kini, ejen-ejen juga turut berhenti daripada mengambil stok barang jalan dan beliau terpaksa bergerak solo.


"Sejak PKP pertama dulu lagi ejen-ejen mula berhenti mengambil stok kerana limitasi jualan dan pergerakan menyulitkan mereka," katanya lagi.


Dalam pada itu, Nadianah juga berkongsi bahawa beliau pernah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi mengembangkan perniagaan beliau namun nasib belum menyebelahi beliau.


"Saya pernah membuat permohonan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan namun belum rezeki dan tidak diluluskan, tapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menjana pendapatan dengan berniaga.


"Saya ingin mengajak dan menasihati semua pihak di luar sana untuk terus kekal positif, berusaha, yakin pada rezeki dan kuasa Tuhan kerana segala apa yang kita lakukan adalah suatu ibadah yang pasti akan dibalas dengan kebaikan dariNya," kata Nadianah lagi.

bottom of page