top of page

KREATIF SABAH: Penyatuan Persatuan Seni Demi Memacu Ekonomi Kreatif Sabah

  • nabalunews
  • 59 minutes ago
  • 2 min read

3 Mei 2026


KOTA KINABALU: Industri kreatif di Sabah melakar sejarah baharu dengan pendaftaran rasmi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).


Penubuhan itu merupakan hasil inisiatif kolektif sembilan buah persatuan seni dan kreatif tempatan yang komited untuk memperkasakan ekosistem industri tersebut di negeri ini.


Antara persatuan terlibat ialah Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS) , Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO), Persatuan Bakat Skrin Sabah (SST), Persatuan Bakat, Seni & Kreativiti Sabah (PBSKS), Persatuan Pencinta Taman Sabah (S3C) dan Persatuan Komuniti Seniman Jalanan Sabah (SBC)


Pengerusi Penaja KREATIF SABAH, Chester Pang, berkata penubuhan gabungan itu adalah satu bukti kemenangan buat para penggiat seni selepas lebih sedekad diperjuangkan oleh tokoh-tokoh senior industri.


Katanya, Penubuhan KREATIF SABAH amat bertepatan dengan masanya tambahan lagi dengan adanya sokongan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


“Atas keprihatinan beliau yang mewujudkan portfolio seni kreatif di bawah Kementerian Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif (MYSPACE) yang diterajui oleh Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.


“KREATIF SABAH bersedia menjadi rakan strategik kepada MYSPACE bagi memacu agenda ekonomi kreatif yang dilihat kritikal bagi pertumbuhan negeri,” katanya.


Menurutnya, penubuhan KREATIF SABAH memberi tujuan yang sama seperti penubuhan Majlis Kebudayaan dari negeri-negeri lain yang menjadi tunggak komuniti kreatif seperti Semenanjung Malaysia.


Katanya, KREATIF SABAH dilihat sebagai penyelaras dasar yang membantu MYSPACE dengan merangka asas dan pelaksanaan dasar ekonomi yang sesuai dengan kehendak industri.


“Sabah adalah negeri yang masih belum melakarkan sebarang polisi kesenian dan kreatif yang jelas berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.


“Oleh yang demikian, penubuhan ini dilihat sebagai satu suara rasmi dari komuniti kreatif tempatan. Penggabungan KREATIF SABAH ini akan mewujudkan kolaborasi strategik dengan pelbagai pemegang taruh industri kreatif di Sabah yang terdiri daripada persatuan seni budaya dan kreatif, institusi-institusi seni kreatif, agensi kerajaan Sabah danpersekutuan yang berteraskan kreatif, kebudayaan dan kesenian.


“Langkah penggabungan itu turut disesuaikan dengan kedudukan geografi Sabah yang strategik dengan perhubungan logistik, diplomatik dan landskap kreatif yang langsung dari pelbagai negara.


“Hal ini dapat dibuktikan dengan tarikan pelancong yang teruja dengan penjenamaan Sabah atau Borneo secara keseluruhannya,” katanya.


Sehubungan itu, Chester menegaskan, KREATIF SABAH bakal merangka satu memorandum bersama dan akan diserahkan kepada kerajaan Sabah dan beberapa agensi kerajaan Persekutuan yang berkaitan sebagai rujukan suara dari penggiat seni yang membentuk industri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page