KRI Tawau sokong kerjasama perdagangan rumpai laut lintas batas Malaysia - Indonesia
- nabalunews
- Feb 27
- 2 min read

27 Februari 2025
TAWAU: Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Aris Heru Utomo menyokong penuh usaha untuk merealisasikan perdagangan rumpai laut merentasi sempadan (lintas batas) Indonesia - Malaysia.
Menurut beliau, usaha itu boleh dilihat sebagai salah satu bentuk kerjasama ekonomi di perbatasan.
Katanya, pihaknya sedia membantu para pengusaha dari pelbagai sudut, termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia, khususnya di Tawau.

“Potensi kerjasama perdagangan rumpai laut merentasi sempadan di Pulau Sebatik dan Nunukan, Indonesia untuk memasarkan hasil kepada pembeli alternatif di Malaysia (Tawau).
“Dengan adanya kerjasama ini, pengusaha rumpai laut tempatan di Sebatik dan Nunukan mampu memperoleh harga sesuai pasaran semasa tanpa bergantung kepada satu pembeli sahaja,”katanya.
Beliau menyatakan perkara itu sebagai respon kepada keluhan pengusaha rumpai laut di Sebatik, Wilayah Indonesia pada sesi dialog bersama penduduk Desa Tembaring di Kecamatan Sebatik Barat dalam lawatan kerjanya di sana, semalam.
Aris berkata, pemasaran rumpai laut ke Tawau dilihat lebih efisien dari segi kos kerana jaraknya yang dekat dengan Sebatik di wilayah Indonesia berbanding jika dihantar ke Makassar atau Surabaya seperti selama ini.
Katanya, para pengusaha rumpai laut di kawasan itu juga mengadu terpaksa berdepan pelbagai masalah, khususnya kejatuhan harga jatuh dan kes kecurian sehingga mereka mengalami kerugian.
“Saya juga dimaklumkan bahawa kejatuhan ketara harga rumpai laut di wilayah itu berlaku akibat harga dikawal oleh pembeli di Makassar yang merupakan syarikat besar milik pelabur asing.
“Perusahaan tersebut dikatakan melakukan urusniaga pembelian rumpai laut secara langsung dengan pengusaha melalui agen sehingga mengakibatkan berlaku kejatuhan harga di luar harga pasaran semasa,”katanya.
Aris menegaskan, beliau yakin alternatif untuk memasarkan rumpai laut dari Sebatik yang merupakan perusahaan utama penduduknya dan Nunukan ke Tawau mampu menguntungkan kedua buah negara berjiran, khususnya dalam membangun ekonomi setempat.
Comments