Krismas disambut secara sederhana tapi meriahKrismas disambut secara sederhana tapi meriah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Krismas disambut secara sederhana tapi meriah



29 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Perayaan Krismas tahun ini disambut secara sederhana oleh penganut agama Kristian yang meraikannya dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.


Krismas tahun ini juga lebih meriah berbanding tahun lalu dengan kelonggaran SOP yang membenarkan rumah terbuka Krismas dan berkumpul bersama ahli keluarga yang lengkap vaksinasi.



Bagi keluarga Maria Kodoh dan Shamson dari Kampung Tiong Ratau Tamparuli, sambutan Krismas agak berbeza berbanding sebelum Covid-19 melanda dunia.


"Dulu pada hari Krismas (25 Dis) setiap rumah di kampung mengadakan rumah terbuka Krismas dan kami akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk memeriahkan sambutan Krismas jiran-jiran tetangga dan saudara mara.


“Tetapi bermula tahun lalu apabila Covid melanda, tiada lagi acara kunjung mengunjungi seperti tahun-tahun sebelum ini,” kata Arianna, salah seorang ahli keluarga Maria.


Katanya lagi, mereka mengadakan sambutan Krismas di rumah terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja bagi mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.


Bagi Beatrice Jones, Krismas tahun ini masih meriah walaupun tiada aktiviti kunjung mengunjungi di rumah jiran dan saudara mara yang lain.


“Apa yang penting ialah dapat berkumpul bersama ahli keluarga. Tahun ini kami berkumpul di rumah keluarga sebelah mama saya.


“Kami meraikan Krismas secara sederhana tapi meriah dengan aktiviti wajib iaitu tukar-tukar hadiah. Sambutan Krismas pada tahun ini juga lebih kepada berkumpul bersama ahli keluarga terdekat sahaja,” katanya kepada Nabalu News.



Beliau berkata, sambutan krismas di gereja juga amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana tiada aktiviti sempena Krismas, hanya upacara sembahyang pada pagi Krismas dengan pematuhan SOP yang ketat.


Tahun ini sama seperti tahun lalu, aktiviti nyanyian karol (caroling) dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.


Beliau berharap pandemik ini segera berlalu supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa tanpa ada perasaan takut dan bimbang dengan penularan Covid-19.


Penganut Kristian di Sabah yang menyambut Krismas pada 25 Disember dibenarkan menunaikan aktiviti keagamaan di gereja dan menerima kehadiran tetamu di rumah dengan kehadiran 50 peratus kapasiti ruang.


Berdasarkan SOP yang disediakan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, kehadiran penganut dan tetamu bagaimanapun hanya untuk yang sudah lengkap vaksin.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page