Kritikan Dijadikan Tunggak Kekuatan, Berpegang Teguh pada Prinsip Perlembagaan- UPKO LIBARAN
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

20 Oktober 2025
SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran menegaskan komitmen teguh untuk terus berdiri bersama kepimpinan presidennya dalam mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.
Ia membuktikan hak wilayah Sabah yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan kekal subur dan wajib dipatuhi semua pihak.
Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr Peter Jr Naintin berkata, beliau tidak melihat kritikan dan pandangan skeptikal terhadap perjuangan parti sebagai halangan.
Sebaliknya katanya, ia sebagai tunggak kekuatan dan keberanian untuk terus memperjuangkan hak rakyat Sabah berdasarkan prinsip undang-undang tertinggi negara.
“Setiap tindakan dan keputusan yang diambil bukanlah untuk memenuhi desakan mana-mana pihak, tetapi berpaksikan kepada tiga teras utama yang tidak boleh dipertikaikan iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan UPKO.
“Ia amat jelas mempertahankan semangat penubuhan Malaysia dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dr Peter berkata, ketiga-tiga dokumen tersebut menjadi kompas dan panduan utama dalam melaksanakan amanah untuk rakyat, dengan menekankan nilai keadilan, kesaksamaan, dan hak asasi sebagai asas perjuangan parti.
“Biarlah setiap pandangan sinis menjadi peringatan kepada kita tentang betapa besarnya tanggungjawab ini.
“Ia harus membakar semangat kita untuk terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip perundangan demi masa depan Sabah yang lebih adil dan bermaruah,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Peter berkata, UPKO Libaran menyeru semua ahli dan penyokong untuk kekal bersatu padu serta memberi sokongan penuh kepada kepimpinan parti dalam memperjuangkan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan.
“UPKO Libaran berdiri teguh menyokong kepimpinan dan keputusan Presiden dalam mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan.
Katanya, 40 peratus hasil bersih wilayah Sabah adalah hak perlembagaan yang tidak boleh ditangguhkan atau dipertikaikan.
Comments