KRT Kampung Piasau Anjur Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan
- nabalunews
- Mar 8
- 1 min read

8 Mac 2025
KOTA BELUD: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Piasau menganjurkan Program Gerak Rahmah "Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat KRT Kampung Piasau Kota Belud 2025" pada hari ini, 8 Mac 2025. Program ini berlangsung serentak di seluruh negara di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
Pengerusi KRT Kampung Piasau, Sanam@Marculin Malun, menyatakan bahawa program ini bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. Bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong akan diagihkan kepada warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan penghantaran terus ke rumah mereka.
Sementara itu, bagi masyarakat umum, edaran bubur lambuk dilakukan di kawasan sekitar bangunan KRT, membolehkan komuniti menikmati juadah istimewa yang sinonim dengan bulan Ramadan ini. Program ini juga menjadi platform bagi mengeratkan hubungan antara penduduk tanpa mengira latar belakang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau, Jolyhame Saran serta Pegawai Kemajuan Masyarakat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod, turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini.
Juin, menekankan kepentingan program sebegini dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan saling membantu.
Jolyhame, antara individu yang terlibat dalam menjayakan program ini, mengucapkan tahniah kepada KRT Kampung Piasau atas usaha mereka dalam memperkukuh hubungan komuniti melalui aktiviti kebersamaan seperti ini.
Menurut beliau lagi, Program Gerak Rahmah ini bukan sahaja menyemarakkan nilai perpaduan tetapi juga mencerminkan semangat keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan memerlukan. Semoga inisiatif sebegini terus menjadi tradisi tahunan yang membawa manfaat kepada semua.
Comments