top of page

KTC komited perkasa tenaga kerja tempatan, wujud 400 peluang pekerjaan baharu

  • nabalunews
  • Mar 14
  • 2 min read

14 Mac 2025


BEAUFORT: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) telah membuat pelaburan sebanyak RM50 juta sepanjang tiga tahun lalu untuk memiliki 200 kenderaan yang digunakan di bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Brunei, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, dan Lahad Datu.


Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pelaburan itu bukan saja meningkatkan kecekapan operasi logistik, malah telah mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu di KTC, membuktikan komitmen syarikat itu dalam memperkasa tenaga kerja tempatan.


"Ini adalah sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat terhadap perniagaan KTC yang amat bermakna.


“Rezeki ini kita kongsikan bersama melalui Jelajah Iftar 2025 yang dianjurkan KTC dengan kerjasama UPPM Sabah dan jelajah hari ini kita adakan di Beaufort," katanya.


Dexter melahirkan rasa gembira berpeluang menyantuni rakyat melalui program jelajah itu serta kehadiran wakil rakyat kawasan itu yang turut hadir mengambil berat terhadap kebajikan rakyat.


Daerah Beaufort merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu adalah destinasi ke-8 Jelajah Iftar 2025.


Jelajah itu melibatkan program majlis berbuka puasa ini diadakan di Masjid Raudhatul Mukminin Kariah, Kampung Kerukan, Kuala Penyu, yang dihadiri kira-kira 500 orang. Sebanyak 20 orang turut menerima sumbangan wang saku raya.


Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada KTC dan UPPM Sabah, dan berharap hubungan silaturahim yang terjalin dapat dikekalkan, terutamanya dalam semangat perayaan yang memupuk keharmonian antara pelbagai kaum.


Beliau turut memberi maklumat bahawa tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka akibat banjir, dengan hanya dua kampung yang tidak terjejas.


Kini, tiga PPS masih beroperasi di kawasan Klias, dan beliau menekankan pentingnya usaha membersihkan rumah pasca-banjir.


Pembantu Menteri Kerja Raya merangkap ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury turut merakamkan penghargaan kepada UPPM Sabah dan KTC atas sokongan mereka dalam penganjuran program berbuka puasa berkenaan, yang turut dihadiri oleh pelbagai kaum.


Beliau berkata, Sabah adalah contoh negeri yang makmur dan berharap program ini dapat diteruskan pada tahun depan.


Mengenai banjir, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keselamatan mereka. Turut hadir Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page