Kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah diserahkan kepada kerajaan negeri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah diserahkan kepada kerajaan negeri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

21 Disember 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan bersetuju agar kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah dipindahkan kepada kerajaan negeri itu.


Anwar dalam satu sidang media berkata, menerusi pemindahan kuasa kawal selia itu, penetapan harga dan perjanjian baharu bekalan gas di Sabah bakal ditentukan oleh kerajaan negeri.


"Kuasa peletakan harga dan perjanjian baharu itu dahulunya diputuskan di pusat, tetapi dengan pemindahan kuasa, pemindahan ini menetapkan kuasa ke Sabah, tapi tentunya ada proses rundingan, tapi proses itu kepada kerajaan negeri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.


Menurut beliau, keputusan itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Beberapa isu besar dapat kita luluskan umpamanya hari ini untuk gas, kita pindahkan kuasa kawal selia bekalan gas yang dahulunya di peringkat Petronas Persekutuan, dipindahkan kepada Sabah.


"Ini berlaku untuk Sarawak, dan kini buat Sabah pula.


"Tarikh pelaksanaannya masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, jadi proses itu saja, tapi kelulusan Kabinet dah diperakui hari ini," katanya.


Terdahulu, mulai 1 Jun 2021, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa penuh bagi mengawal selia aktiviti pengedaran gas di Sarawak.


Sementara itu, mengulas lanjut mengenai MA63, Anwar berkata beberapa perkembangan mengenai perkara itu akan diumumkan pada bulan depan.


"Seperti kita tahu (ia) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, (saya) bagi tempoh sebulan, insya-Allah awal Januari bila genap sebulan kita akan umumkan beberapa kemajuan jauh lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan," katanya.


Jelas beliau, perkara lain dalam perjanjian itu yang melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang, akan ditangguhkan hingga sidang Parlimen akan datang.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page